MISC kini tersenarai di Pasaran Sedang Pesat Membangun Dow Jones | DagangNews Skip to main content

MISC kini tersenarai di Pasaran Sedang Pesat Membangun Dow Jones

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 23 Nov - MISC Bhd mula disenaraikan sebagai konstituen Indeks Kemampanan Dow Jones (DJSI) di bawah kategori Pasaran Sedang Pesat Membangun, menjadikannya satu-satunya syarikat sektor pengangkutan di Malaysia yang disenaraikan dalam Pasaran Sedang Pesat Membangun DJSI.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Yee Yang Chien berkata, ia merupakan antara tiga syarikat Malaysia yang disenaraikan dalam Pasaran Sedang Pesat Membangun DJSI di peringkat global.

 

Katanya pencapaian itu sebagai acara penting dalam perjalanan kemampanan MISC pada skala global dan mengukuhkan komitmen untuk meningkatkan tahap prestasi kemampanan.

“Kami percaya bahawa kemajuan perniagaan kami perlu seimbang dengan integrasi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam pelbagai aspek strategi dan operasi kami dan ini baik untuk mewujudkan nilai yang bermakna dan mampan dalam jangka masa panjang.

 

“Keputusan dan tindakan kami pada tahun-tahun akan datang akan terus mengikut agenda kemampanan kami, didorong oleh usaha bersepadu pekerja, perniagaan dan rakan kongsi kami, selain berdasarkan aspirasi kami untuk menggerakkan tenaga bagi membina dunia yang lebih baik,” katanya.

 

Indeks Pasaran Sedang Pesat Membangun DJSI terdiri daripada peneraju kemampanan pasaran sedang pesat membangun seperti yang telah dikenal pasti oleh S&P Global melalui Penilaian Kemampanan Korporat.

 

Ia bertujuan mewakili 10 peratus utama daripada 800 syarikat terbesar dalam 20 pasaran sedang pesat membangun berdasarkan kriteria ekonomi, alam sekitar dan sosial jangka panjang.

 

Sejumlah 108 syarikat global terdapat dalam Indeks Pasaran Sedang Pesat Membangun DJSI pada tahun ini. -DagangNews.com