MISC umum MDFT meterai perjanjian lanjutan kontrak FPSO Kikeh sehingga Januari 2028 | DagangNews Skip to main content

MISC umum MDFT meterai perjanjian lanjutan kontrak FPSO Kikeh sehingga Januari 2028

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 24 Jan - MISC Berhad (MISC) mengumumkan bahawa Malaysian Deepwater Floating Terminal (Kikeh) Limited (MDFT), sebuah syarikat usaha sama antara MISC dan SBM Holdings Inc. SA (SBM) telah memeterai perjanjian dengan PTTEP Sabah Oil Limited (PTTEP) untuk melanjutkan Kontrak Piagam FPSO Kikeh selama enam tahun bermula Januari 2022 hingga Januari 2028.

 

MISC berkata, MDFT masing-masing dimiliki oleh MISC dengan pegangan ekuiti 51% manakala baki 49% dimiliki oleh SBM. duanya.

 

"Dibina pada tahun 2007, FPSO Kikeh ialah FPSO air dalam yang pertama dan terbesar di Malaysia dan juga Asia.

 

"FPSO tersebut boleh mengeluarkan 120,000 tong minyak setiap hari dan mempunyai kapasiti penyimpanan sebanyak dua juta tong minyak.

 

"Ia terletak di Blok K, luar pesisir Sabah, Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

MISC merupakan peneraju global dalam menyampaikan penyelesaian dan perkhidmatan maritim berkaitan tenaga dengan pengalaman lebih lima dekad dalam industri maritim dan tenaga. 

 

Perniagaan utamanya terdiri daripada perkapalan tenaga dan aktiviti berkaitannya, memiliki dan mengendalikan penyelesaian terapung luar pesisir, pembaikan dan penukaran marin, kerja-kerja kejuruteraan dan pembinaan, perkhidmatan marin bersepadu, pengurusan pelabuhan dan perkhidmatan maritim serta pendidikan dan latihan maritim. 

 

"Armada Kumpulan yang moden dan pelbagai terdiri daripada lebih daripada 100 kapal milik dan sewa yang terdiri daripada pembawa Gas Asli Cecair (LNG) dan Etana, kapal Petroleum dan Produk, Sistem Pengeluaran Terapung (FPS) serta Unit Simpanan Terapung (FSU) LNG dengan gabungan kapasiti tan berat mati (dwt) lebih daripada 13 juta tan," katanya.

 

MISC baru-baru ini dilihat membina daya tahannya selepas berjaya menghantar kapal pertama daripada tiga buah kapal tangki ulang-alik Suezmax Dynamic Positioning (DP2) bagi sewaan jangka panjang dengan syarikat minyak global, Shell oleh anak syarikat milik penuh MISC Berhad, AET.

 

MIDF Research melihat perkembangan tersebut sebagai bukti kukuh daya tahan MISC di tengah-tengah ketidaktentuan pandemik Covid-19, ditambah pula dengan gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan harga minyak yang berterusan.  -DagangNews.com