Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat berjaya tarik pelaburan RM16.52 bilion - Mohamed Azmin | DagangNews Skip to main content

Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat berjaya tarik pelaburan RM16.52 bilion - Mohamed Azmin

KUALA LUMPUR 21 Mei - Malaysia berjaya menarik pelaburan baharu bernilai RM16.52 bilion dari Amerika Syarikat (AS) melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) yang diketuai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.

 

Mohamed Azmin berharap bahawa semua komitmen projek pelaburan baharu yang terbabit dapat dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini.

 

"Kita berharap pada suku ketiga tahun ini, kesemua komitmen ini akan dapat dimuktamadkan dan ia dapat mencipta peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan," katanya dalam sidang media mengenai Hasil Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat, hari ini, lapor Bernama.

 

Antara projek pelaburan baharu adalah daripada syarikat Insulet, Ferrotec, Amazon Web Services Inc (AWS) dan Cue Health serta projek pengembangan pelaburan oleh Texas Instruments dan Boston Scientific.

 

TIM yang bermula pada 9 hingga 18 Mei lalu menumpukan pada sektor baharu yang berinovatif dan bernilai tambah tinggi khususnya industri semikonduktor.

 

Selain itu sektor lain yang turut menjadi tumpuan termasuk ekonomi digital dan sektor peranti perubatan selari dengan Aspirasi Pelaburan Nasional yang memfokuskan pelaburan berkualiti tinggi dan membabitkan teknologi terkini.

 

Menerusi projek itu, Malaysia bukan sahaja akan mendapat pelaburan baharu malah mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi kepada rakyat selain penyediaan latihan daripada syarikat-syarikat terlibat.- DagangNews.com