Misi perdagangan ke Itali raih komitmen pelaburan RM2.835 bilion dan RM500 juta potensi eksport untuk produk Malaysia - MITI | DagangNews Skip to main content

Misi perdagangan ke Itali raih komitmen pelaburan RM2.835 bilion dan RM500 juta potensi eksport untuk produk Malaysia - MITI

Tengku Zafrul Abdul Aziz melawat fasiliti Leonardo Helicopters di Milan sempena misi perdagangan dan pelaburan ke Itali bermula 12 Januari lalu. /Gambar FB Tengku Zafrul
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Jan - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berjaya meraih komitmen pelaburan RM2.835 bilion hasil daripada misi perdagangan dan pelaburan ke Itali berakhir hari ini.

 

Misi yang diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz itu turut meraih potensi eksport RM500 juta untuk produk dan perkhidmatan Malaysia.

 

Menerusi kenyataan media hari ini, MITI memaklumkan, Tengku Zafrul telah bertemu dengan syarikat terkemuka Itali dalam sektor automotif, aeroangkasa, semikonduktor, makanan, biofuel, serta jentera dan peralatan dalam usaha mengukuhkan hubungan ekonomi, serta menarik potensi pelaburan dan perdagangan untuk Malaysia.

 

Syarikat terkenal yang ditemui dalam misi selama empat hari di Turin dan Milan bermula 12 Januari lalu termasuk STMicroelectronics, EDA Industries serta Bahagian Helikopter dan Pesawat Leonardo.

 

"Syarikat-syarikat ini berkongsi rancangan pelaburan mereka di Malaysia dan mengesahkan komitmen untuk meneroka bidang pertumbuhan baharu bagi pemindahan pengetahuan dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi di negara ini.

 

"EDA Industries berkongsi rancangan untuk meningkatkan kerjasama perniagaan dan pelaburan termasuk perolehan fasiliti baharu di Jasin, Melaka. Pelaburan ini akan menyokong peningkatan permintaan global untuk peralatan ujian terutamanya bagi segmen kenderaan elektrik," kata MITI.

 

Jelas kenyataan itu, delegasi diketuai Tengku Zafrul turut mendengar taklimat daripada STMicroelectronic mengenai pelaburan mereka di Muar, Johor yang menjadi bukti daya tarikan berterusan Malaysia sebagai hab pilihan pemain industri berteknologi tinggi.

 

"Misi ini juga menampilkan lawatan ke kedua-dua kemudahan Bahagian Pesawat dan Helikopter Leonardo di Milan dan Turin. 

 

"Pemain global dalam industri aeroangkasa itu menyatakan minatnya untuk menerokai usaha niaga baharu di Malaysia bagi menyokong operasi serantau masa depannya," kata kenyataan itu.

 

Menurut MITI, dari segi potensi eksport, Tengku Zafrul turut bertemu dengan syarikat pengeluaran makanan berasaskan coklat dan koko terkemuka, Fererro International S.A yang akan meningkatkan pembelian minyak sawit Malaysia bagi menampung peningkatan pengeluaran dalam beberapa tahun akan datang. 

 

Syarikat itu juga mempertimbangkan untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 untuk mengembangkan rangkaian rantaian bekalan mereka dalam kalangan syarikat Malaysia dan mewujudkan Malaysia sebagai hab halal mereka untuk rantau Asia Pasifik, ujar MITI.

 

ferrero
Tengku Zafrul turut bertemu dengan pengurusan Fererro International S.A, sebuah syarikat makanan terkemuka Itali dalam pengeluaran makanan berasaskan coklat dan koko dekat Turin.

 

 

ENI Trade & Biofuels S.p.A (ETB) pula berkongsi potensi pertumbuhan pasaran global dan pengimportan bahan mentah biopenapisan yang dibekalkan dari Malaysia untuk kilang biopenapisan yang dikendalikan oleh ENI S.p.A., termasuk HVO (minyak sayuran hidrotreated), SBE (spent bleaching earth) dan untuk Sustainable Aviation Fuel (SAF).

 

"Syarikat juga berkongsi status kerjasama dengan PETRONAS untuk mewujudkan kilang penapisan bio di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Malaysia. Kerjasama itu bertujuan untuk menyokong pembangunan pengeluaran bahan mentah dan perolehan untuk industri biopenapisan antarabangsa," kata kenyataan tersebut.

 

ETB merupakan salah satu syarikat petroleum dan gas terbesar di Itali.

 

Tengku Zafrul yang mengalu-alukan komitmen tambahan kepada pelaburan dan eksport ini, berkata, hasil misi ini mencerminkan komitmen MITI untuk memartabatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global. 

 

Menurut beliau, perkongsian yang terjalin juga akan menyumbang secara signifikan kepada usaha Malaysia untuk menjadi hab serantau bagi teknologi dan inovasi termaju. 

 

"MITI dan agensi-agensinya seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan memastikan kesemua potensi pelaburan dan eksport ini direalisasikan. 

 

"Ini merupakan kunci ke arah memupuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan seperti mana yang disasarkan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030," katanya.

 

Sebanyak 135 projek pembuatan dengan penyertaan Itali telah diluluskan dari 1980 hingga September 2023 dengan jumlah pelaburan berjumlah RM3.24 bilion. 

 

Secara keseluruhannya, projek-projek ini menawarkan 11,105 peluang pekerjaan. - DagangNews.com