Misi Perniagaan MDEC ke Indonesia jana potensi pelaburan lebih RM100 juta dalam sektor teknologi digital | DagangNews Skip to main content

Misi Perniagaan MDEC ke Indonesia jana potensi pelaburan lebih RM100 juta dalam sektor teknologi digital

Ketua Pegawai Eksekutif KUMPUL, Faye Wongso (empat dari kiri); Penyelaras Permulaan Digital KOMINFO, Sonny Sudaryana (tengah) dan Naib Presiden Kanan Pembangunan Ekosistem MDEC, Gopi Ganesalingam (empat dari kanan) bersama wakil dari KOMINFO dan KUMPUL semasa Misi Perniagaan MDEC ke Jakarta.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

CYBERJAYA 7 Jun - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi Misi Perniagaan ke Indonesia baru-baru ini berpotensi menjana lebih RM100 juta peluang pelaburan dalam sektor teknologi digital sejak pintu sempadan dibuka pada April 2022 susulan fasa peralihan ke endemik COVID-19.

 

Misi Perniagaan yang berlangsung dari 16 hingga 20 Mei 2022 di Jakarta, merupakan kelangsungan daripada program Gateway, Amplify, Investor, Nurture (GAIN) di bawah MDEC, bertujuan memacu syarikat teknologi tempatan ke peringkat global.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, Misi Perniagaan tersebut telah membolehkan MDEC, syarikat teknologi Malaysia dan agensi-agensi lain melakukan tindakan susulan berkenaan peluang-peluang yang ditawarkan sebelum penutupan sempadan akibat daripada pandemik COVID-19.

 

“Indonesia merupakan antara rakan teknologi strategik utama Malaysia, berikutan ekonomi digitalnya yang berkembang pantas dan berinovatif. Justeru, menerusi misi ini kami boleh menerokai potensi projek bersama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara serta ASEAN secara keseluruhannya.

 

“Sebagai contoh, program GAIN telah berjaya memperkukuh kerjasama dan membawa peluang perniagaan, perkongsian idea dan kesedaran dalam kerajaan serta kalangan agensinya, selain turut membantu membangunkan syarikat teknologi Malaysia dan Indonesia bagi mengembangkan capaian, pengalaman serta rangkaian hubungan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sejak 2018, MDEC telah melaksanakan tujuh Misi Perniagaan (tiga merupakan Misi Pemacuan Eksport dan empat di bawah program GAIN Connex) dan berjaya menghubungkan lebih 40 syarikat teknologi Malaysia kepada rakan kongsi di Indonesia dengan jumlah peluang eksport digital bernilai lebih RM370 juta.

 

Namun, berikutan sekatan perjalanan disebabkan pandemik COVID-19, program pada tahun 2020 hingga 2021 telah dianjurkan secara dalam talian. Oleh itu, misi kali ini adalah untuk mengaktifkan semula program fizikal untuk Ekosistem Perniagaan Sokongan di Indonesia.

 

 

MDEC
Mahadhir Aziz

 

 

Semasa Misi Perniagaan kali ini sebanyak 18 pertemuan telah diadakan di antara kerajaan dan pemegang taruh swasta yang merangkumi perbincangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Jakarta serta Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Indonesia (KOMINFO) dan perbincangan dengan ekosistem keusahawanan Indonesia iaitu KUMPUL. 

 

Perkara-perkara lain melibatkan perbincangan berkenaan ialah potensi projek bersama dalam Teknologi Kewangan, Teknologi Pertanian, Keselamatan Siber dan sektor e-Kerajaan khususnya dengan perancangan Indonesia untuk memindahkan ibu negara mereka ke bandar Nusantara di Kalimantan Timur.

 

Selain itu, antara perbincangan utama lain yang diadakan ialah pertemuan antara dua syarikat penyedia modal teroka (VC) iaitu AC Ventures dan KEJORA, bagi mempromosikan program pembiayaan terkini yang ditawarkan dan strategi penciptaan nilai kepada syarikat Malaysia dan Indonesia untuk meningkatkan kapasiti dan pengembangan pasaran.

 

MDEC akan terus mengenal pasti setiap peluang bagi mempromosikan syarikat Malaysia untuk eksport Intervensi Langsung dan sokongan ekosistem ke Indonesia khususnya dan ASEAN amnya. - DagangNews.com