MITI: Analisis kos-manfaat CPTPP sedang dimuktamadkan | DagangNews Skip to main content

MITI: Analisis kos-manfaat CPTPP sedang dimuktamadkan

Oleh Anas Abu Hassan

 

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri  (MITI) sedang dalam proses memuktamadkan dokumen analisis kos-manfaat (CBA) bagi ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

 

Pengarah Kanan MITI bahagian rundingan strategik dan ketua perunding bagi CPTPP,  Arividya Arimuthu berkata, dokumen itu dijangka dimuktamadkan pada minggu-minggu akan datang.

 

"Kami beri jaminan sebaik sahaja CBA bagi CPTPP dimuktamadkan MITI akan menyediakannya kepada orang ramai,” katanya kepada Bernama

 

CPTPP adalah perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang memberikan layanan keutamaan kepada anggotanya - dengan 11 negara telah memeterai perjanjian itu termasuk Malaysia.

 

Bagaimanapun, Malaysia masih belum meratifikasikan perjanjian perdagangan itu.  

 

Malaysia kekal sebagai negara penandatangan berserta dengan Brunei dan Chile, tetapi tidak menikmati kadar tarif keutamaan yang ditawarkan dalam perjanjian itu. 

 

Perjanjian itu telah dikuatkuasakan di Australia, Kanada, Jepun, New Zealand, Mexico, Peru, Singapura dan Vietnam.


 

 Arividya Arimuthu
                                 Arividya Arimuthu

 


Sehingga proses ratifikasi dipenuhi, Malaysia diberi status pemerhati dan tidak mempunyai sebarang hak untuk menghalang apa juga keputusan yang dibuat berkaitan dengan penguatkuasan perjanjian itu. 

 

CPTPP merangkumi setiap aspek perdagangan termasuk e-dagang, perusahaan milik negara dan tambahan disiplin bagi hak harta intelektual serta halangan terknikal kepada perdagangan. - DagangNews.com