MITI tidak pernah lantik ejen & pihak ketiga sebagai perantara untuk Pikas | DagangNews Skip to main content

MITI tidak pernah lantik ejen & pihak ketiga sebagai perantara untuk Pikas

Kementerian Perdagangan Antarabanngsa dan Industri (MITI)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kementerian Perdagangan Antarabanngsa dan Industri (MITI) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga sebagai perantara untuk syarikat berdaftar di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas).

 

MITI berkata, kesemua makluman dan pendaftaran Pikas boleh didapati di http://pikas.miti.gov.my.

 

"Kami menyarankan komuniti perniagaan agar lebih berhati-hati terhadap mana-mana individu yang berjanji untuk mendapatkan vaksinasi bagi syarikat di bawah Pikas.

 

"Segera laporkan kepada polis sekiranya terdapat perkara yang mencurigakan oleh individu-individu yang mengaku sebagai 'ejen' Pikas," jelas MITI dalam satu ciapan di laman Twitternya hari ini.

 

.

 

Pikas diperkenal dengan objektif untuk memudahkan usaha kerajaan mempercepatkan vaksinasi untuk Rakyat dan mencapai imuniti kelompok (herd immunity) dengan meningkatkan pengambilan vaksinasi dalam kalangan tenaga kerja di Malaysia.

 

Dalam pada itu, program tersebut bermatlamat untuk mengurangkan bilangan kluster COVID-19 dalam kelompok tempat kerja.

 

Pikas yang memfokuskan vaksinasi pekerja sektor pembuatan itu berjaya memberikan vaksin sebanyak 732,923 dos hingga 11 Ogos 2021.

 

Sebanyak 200,535 daripada jumlah itu telah menerima dua dos suntikan. - DagangNews.com