KUALA LUMPUR 30 Mei - Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bersama pengedar sah MM Supreme Sdn Bhd melancarkan Pusat 4S Mitsubishi Motors yang baru dinaik taraf di Johor Bharu.
Bilik pameran seluas 15,000 kaki persegi itu menampilkan suasana persekitaran yang inklusif untuk memenuhi keperluan bakal pelanggan.
Pusat servisnya dilengkapi enam ruang servis, perkhidmatan 'Body & Paint', menyediakan kerja-kerja pembaikan perkhidmatan, kemalangan, dan mengecat bagi memastikan kenderaan pelanggan diselenggara dengan baik pada standard serta kualiti tertinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Shinya Ikeda berkata, Mitsubishi Motors dan MM Supreme telah menjadi rakan kongsi perniagaan sejak 2009.
Katanya, dalam tempoh 14 tahun perkongsian perniagaan yang kukuh, MM Supreme telah menubuhkan tiga bilik pameran Mitsubishi di Johor, pertama di Batu Pahat pada 2009, diikuti Muar (2011), dan kini membuka sebuah lagi pusat 4S di Johor Bahru.
"Ini menunjukkan keyakinan MM Supremes terhadap jenama itu, dan komitmen untuk mengukuhkan lagi kehadiran Mitsubishi di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Shinya berkata, pelancaran bilik pameran itu adalah untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan dengan lebih baik kerana pihaknya melihat potensi besar untuk pertumbuhan perniagaan, terutamanya untuk trak pikap Triton dan crossover tujuh tempat duduk Xpander.
"Kumpulan MM Supreme merupakan penyumbang jualan tertinggi di Johor. Kami optimis kami akan terus bekerjasama untuk mengekalkan momentum jualan, dan bersedia untuk melayani lebih ramai pelanggan dari Johor dengan lebih baik," katanya.
MM Supreme terletak di 4C, PLO 136, Jalan Angkasa Mas 2, Kawasan Perindustrian Tebrau 2, 81100 Johor Bahru, Johor.
Bilik pameran tersebut dibuka dari Isnin hingga Ahad bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang. - DagangNews.com