Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 29 Sept. - Pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi Motors di Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bersama rakan niaga sah, Ingress Motors Center (IMC) melancarkan pembukaan Pusat Mitsubishi Motors 3S (Sales, Service & Spare parts) yang baharu bertempat di Petaling Jaya, Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi berkata, pusat tersebut adalah bilik pameran keempat Mitsubishi Motors di Malaysia selepas pembinaan di Puchong, Bangi dan Shah Alam.
"Tahniah kepada IMC di atas pembukaan bilik pameran MMM baharu di Petaling Jaya. MMM dan IMC telah menjadi rakan perniagaan sejak 2013, dan dalam masa tujuh tahun IMC telah berjaya menubuhkan empat daripada 14 bilik pameran MMM di Lembah Klang.
"Ini menunjukkan komitmen IMC untuk memperkukuhkan lagi kehadiran jenama Mitsubishi di Malaysia," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Bilik pameran terbaharu itu terletak di No.13, Jalan 225 Seksyen 51A, 46100 Petaling Jaya.
Keempat-empat bilik pameran MMM menggabungkan jenama korporat baharu Mitsubishi Motors dengan slogan 'Drive Your Ambition'.
Lambang korporat itu adalah kenyataan yang bermakna kepada komitmen Mitsubishi Motors terhadap nilai dan aspirasi pemanduannya.
Tambah beliau, pembukaan bilik pameran baharu itu juga sejajar dengan kehadiran model XPANDER baharu ke Malaysia tidak lama lagi.
Sementara itu, Presiden Bahagian Pengedar Auto IMC, Rabian Abdul Rahman berkata, pembukaan bilik pameran baharu di Petaling Jaya itu juga akan menjadi platform kepada MMM untuk mendapatkan pelanggan baharu.
"Potensi pasaran sangat tinggi di Petaling Jaya memandangkan populasi penduduk yang besar dan kadar pertumbuhan yang tidak kurang daripada 1.25% setahun dengan sekurang-kurangnya 60% isi rumah berpendapatan sederhana tinggi," tambahnya.
Dengan jumlah pelaburan RM1.25 juta yang melibatkan kawasan lebih 34,000 kaki persegi, Pusat 3S itu turut menempatkan ruang menunggu pelanggan yang selesa bersama capaian WIFI.
Pusat servis juga turut dilengkapi dengan bengkel lengkap dengan kapasiti 12 ruang servis yang bersedia menerima kenderaan Mitsubishi.
Kini, MMM memiliki 52 bilik pameran dan 46 daripadanya adalah Pusat 3S selain 52 cawangan perkhidmatan di seluruh Malaysia. - DagangNews.com