Mitsubishi Power terima tempahan turbin stim, gas bagi loji janakuasa elektrik berkapasiti 500MW di Sarawak | DagangNews Skip to main content

Mitsubishi Power terima tempahan turbin stim, gas bagi loji janakuasa elektrik berkapasiti 500MW di Sarawak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Mitsubishi Power, jenama rumusan peralatan janakuasa elektrik daripada Mitsubishi Heavy Industries, Ltd. (MHI), menerima tempahan untuk turbin gas M701F dan turbin stim bagi  loji janakuasa elektrik berkapasiti 500MW di Miri, Sarawak. 

 

Kontrak bekalan peralatan telah ditandatangani antara Mitsubishi Power dan Sinohydro Corporation Limited, kontraktor utama untuk projek ini.

 

Selain membekalkan peralatan teras, Mitsubishi Power akan menyediakan peralatan sokongan dan menghantar penasihat teknikal, yang merupakan aspek penting bagi menyokong pemasangan dan pengoperasian loji tersebut. 

 

Turbin gas tersebut akan direka bentuk bagi pembakaran bersama gas asli dan hidrogen sehingga mencecah 30% nisbah pengunaan hidrogen, menjadikannya kemudahan penjanaan kuasa tercanggih dan termoden di Sarawak.

 

Terletak di Miri, projek itu dimiliki dan dikendalikan oleh Petros Power Sdn Bhd, anak syarikat Petroleum Sarawak Bhd (Petros), syarikat minyak dan gas milik Sarawak. 

 

Petros akan membangunkan loji janakuasa ini dengan disokong oleh Sinohydro Corporation Limited sebagai kontraktor utama dan Mitsubishi Power sebagai pembekal peralatan utama. 

 

Mitsubishi Power juga telah mengikat Perjanjian Penyelenggaraan Jangka Panjang (LTSA) dengan Petros bagi memastikan prestasi operasi loji janakuasa yang optimum untuk operasi komersialnya. 

 

Mesin Penjana untuk loji janakuasa ini akan dikeluarkan oleh Mitsubishi Generator Co Ltd, yang ditubuhkan pada 1 April 2024 melalui penggabungan bahagian penjana kuasa MHI dan Mitsubishi Electric Corporation.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Mitsubishi Power Asia Pacific Pte Ltd, Akihiro Ondo berkata, sejak 1960, pihaknya telah menjadi pembekal utama peralatan dan perkhidmatan penjanaan kuasa di Malaysia. 

 

"Projek yang dilengkapi dengan turbin gas M701F sedia hidrogen, mengukuhkan komitmen kumpulan bagi menyokong perjalanan Malaysia ke arah pelepasan sifar menjelang 2050. 

 

"Kami berterima kasih kepada Petros atas kepercayaan yang diberikan, serta peluang untuk merealisasikan potensi hidrogen di Sarawak bagi memacu peralihan tenaga bersama rakan industri tempatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Loji Janakuasa Miri akan menjadi kemudahan teras milik negeri, hab gas utama Sarawak, dan sedang dibangunkan di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak yang menyokong aspirasi mereka untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030. 

 

Setelah siap, loji janakuasa Miri akan memastikan jaminan tenaga untuk utara Sarawak sambil menyediakan kapasiti tenaga yang mencukupi bagi permintaan dan pertumbuhan tenaga di negeri itu pada masa hadapan. - DagangNews.com