Mitsubishi Triton AT Premium tampil dengan versi dipertingkat, berharga RM135,900 | DagangNews Skip to main content

Mitsubishi Triton AT Premium tampil dengan versi dipertingkat, berharga RM135,900

Triton AT Premium versi naik taraf dengan ciri-ciri khas sporty ditampilkan dalam warna White Diamond.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Jan - Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) melancarkan Triton AT Premium versi dipertingkat dengan ciri-ciri khas sporty.

 

Trak Triton itu ditawarkan dalam jumlah yang terhad dan hanya boleh didapati dalam warna White Diamond dengan reka bentuknya menarik minat mereka yang menghargai pemanduan bergaya dan dinamik.

 

Menurut MMM, Triton varian ini didatangkan dengan hiasan bampar hadapan yang bergaya, reka bentuk pelekat eksklusif, set rim Yokohama Geolander AT G015 18 inci dan sports bar dinamik serta visor.

 

"Bagi ruang dalam kabin, naik taraf termasuk reka bentuk sandaran kepala baharu dan plat bercahaya," kata kenyataan itu.

 

Harga tanpa insurans bagi trak pikap itu ditawar pada RM135,900 bagi Semenanjung dan RM137,900 (Sarawak dan Sabah).

 

sticker

 

Triton AT-Premium versi naik taraf dikuasakan oleh enjin turbodiesel 2.4-liter MIVEC, yang menghasilkan kuasa maksimum 181 PS dan tork maksimum 430 Nm dengan teknologi Variable Valve Timing.

 

Dari segi keselamatan, ia didatangkan dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Aktif (ASC), Kawalan Cengkaman (TC), Peringatan Rehat, Bantuan Permulaan Bukit (HSA) dan Bantuan Kestabilan Treler (TSA).

 

Trak pikap ini turut dilengkapkan dengan Perakam Video Pemanduan (DVR) yang ditawarkan oleh penjual sah MMM sebagai standard di semua ruang pameran Mitsubishi Motors di seluruh negara.

 

tayar

 

head

 

Sementara itu, MMM juga menganjurkan acara khas Roar of Champion di tujuh bilik pameran Mitsubishi iaitu di Kuala Terengganu (27 Januari), Kuantan (3 Februari), Temerloh (4 Februari), Tampoi (17 Februari), Johor Bahru (18 Februari), Melaka (24 Februari) dan Nilai (25 Februari).

 

"Selain varian Triton AT Premium yang dinaik taraf, pelanggan yang mengunjungi bilik pameran ini pada tarikh dinyatakan akan dapat menyaksikan replika Triton yang menjuarai Asia Cross Country Rally 2022. 

 

"Pelanggan yang menempah kereta Mitsubishi akan menerima beg simpanan Thous Winds eksklusif," kata MMM.- DagangNews.com