Mitsui pegang 25% kepentingan, LGMS berpotensi memperluas pasaran keselamatan siber – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Mitsui pegang 25% kepentingan, LGMS berpotensi memperluas pasaran keselamatan siber – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - LGMS Berhad dilihat akan mendapat manfaat daripada rangkaian global Mitsui & Co., Ltd (Mitsui) untuk meluaskan jangkauan dan mengukuhkan kedudukan dalam ruang keselamatan siber.

 

Kenanga Research berkata sedemikian berikutan Mitsui telah muncul sebagai pemegang saham strategik setelah memperoleh 25% kepentingan dalam LGMS pada 26 April 2023.

 

Firma penyelidikan itu berkata ia merupakan pelaburan strategik Mitsui untuk meningkatkan keupayaan keselamatan sibernya dengan memanfaatkan senarai pensijilan global LGMS yang kukuh.

 

“Manakala, LGMS akan dapat memanfaatkan rangkaian global Mitsui yang luas untuk menjangkau lebih ramai pelanggan dan mendapatkan maklumat tentang sistem keselamatan siber proprietari Mitsui, serta memperkenalkan perkhidmatan baharu tersebut di Malaysia dan negara-negara ASEAN,” katanya dalam nota hari ini.

 

Menurut firma itu, pendedahan Mitsui dalam pelbagai perniagaan dan industri akan membuka banyak peluang perniagaan untuk LGMS dalam sektor yang belum diterokai seperti penjagaan kesihatan, logistik, tenaga serta makanan dan minuman.

 

Ini merupakan pelaburan sulung Mitsui dalam firma keselamatan siber luaran yang menunjukkan keupayaan LGMS, tambahnya.

 

Firma itu berkata walaupun Mitsui mempunyai perniagaan keselamatan siber sendiri untuk pasaran Jepun, ia melihat perkongsian ini sebagai satu langkah untuk meningkatkan kedudukannya dalam pasaran Jepun dengan menawarkan perkhidmatan tambahan yang memerlukan kelayakan dan pensijilan tertentu yang unik dimiliki oleh LGMS.

 

Mitsui, sebuah konglomerat global berusia 75 tahun, mempunyai kehadiran antarabangsa yang kukuh dengan 127 pejabat di 63 negara dan lebih 40,000 pekerja dan disenaraikan di bursa saham Jepun, Mitsui mempunyai permodalan pasaran sebanyak JPY6.45 trilion atau RM220 bilion dan menjana pendapatan tahunan sebanyak JPY11.8 trilion atau RM390 bilion.

 

“Oleh itu, potensi menyediakan perkhidmatan keselamatan siber kepada kumpulan syarikat Mitsui sahaja mungkin membawa sumbangan yang sangat penting kepada LGMS,” kata firma itu.

 

Kenanga menyukai LGMS disebabkan pendedahan unik kepada perniagaan keselamatan siber semakin berkembang dan perniagaannya berdaya tahan memandangkan halangan tinggi untuk kemasukan disebabkan proses kelayakan yang sukar sebagai vendor.

 

Selain itu, perisian pensijilan proprietari baharu dijangka menjadi pemacu pendapatan seterusnya.

 

Firma itu mengekalkan penarafan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM1.50 sesaham sementara menunggu panduan mengenai potensi pemangkin pendapatan selepas kemasukan Mitsui sebagai pemegang saham. -DagangNews.com