MK Land lancar operasi ladang solar PV pertama di Kerian, Perak dengan pelaburan RM52 juta | DagangNews Skip to main content

MK Land lancar operasi ladang solar PV pertama di Kerian, Perak dengan pelaburan RM52 juta

Felina (tengah) meninjau Loji Solar Fotovoltaik (PV) di Lembah Beriah, Kerian.
Oleh Zaki Salleh

KERIAN 23 Ogos - MK Land Holding Berhad menerusi anak syarikatnya, Solar Citra melancarkan operasi komersial Loji Solar Fotovoltaik (PV) Berskala 10.95-Megawatt (MW) Solar Citra yang pertama seumpamanya di Perak.

 

Loji elektrik solar yang dibangunkan di Lembah Beriah dengan keluasan 40 ekar itu adalah sebahagian daripada kitaran keempat program Solar Skala Besar 4 (LSS4) yang diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga.

 

Ia dibangunkan dengan kerjasama penyedia penyelesaian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), Solarvest Holdings Berhad serta pengeluar peranti penyongsang solar, GoodWe (Jiangsi) Power Supply Technology Co., Ltd (GoodWe).

 

Pengerusi Eksekutif M.K Land, Felina Tan Sri Datuk Dr Mustapha Kamal berkata, loji itu akan membekalkan tenaga elektrik sebanyak 10.95 MW kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) selama 25 tahun.

 

Katanya, loji Solar Citra tersebut telah pun beroperasi sejak 25 Mei lalu.

 

Pv
Falina (kiri) semasa merasmikan pelancaran operasi komersial Loji Solar Citra Lembah Beriah.

 

"Ia dipasang 32,000 keping panel solar dengan kos keseluruhan sebanyak RM52 juta untuk menghasilkan loji solar foto PV berskala 10.95 MW.

 

"Ini akan menyumbang pendapatan baharu dan berterusan kepada kami, bagaimana sektor hartanah masih menjadi teras utama," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Meraikan Pencapaian Operasi Loji Janakuasa Solar Berskala Besar, Solar Citra di Lembah Beriah disini hari ini.

 

Susulan kejayaan itu, Solar Citra akan membuka sebuah lagi loji solar di Kulim, Kedah untuk dibekalkan kepada pengusaha perindustrian yang memerlukan.

 

"Insya Allah,dalam masa terdekat kita akan membangunkan sebuah lagi loji tenaga solar di Kulim dengan keluasan 130 ekar berskala 30 Megawatt.

 

Solar

 

"Tenaga solar itu akan dibekalkan kepada pengusaha perindustrian yang memerlukan," kata Felina.

 

Sementara itu, Pegawai Daerah Kerian, Mohamad Sabli Bakri berkata, sebanyak enam ladang solar telah dibina di Kerian.

 

"Lima ladang solar dibangunkan di kawasan Lembah Beriah dengan keluasan 540 ekar.

 

"Sebuah lagi di kawasan Parit Buntar dengan keluasan 100 ekar menjadikan keluasan keseluruhannya sebanyak 640 ekar di Kerian," katanya. - DagangNews.com