MKN luluskan pembukaan semula aktiviti pelancongan | DagangNews Skip to main content

MKN luluskan pembukaan semula aktiviti pelancongan

Ismail Sabri Yaakob

Ismail Sabri Yaakob

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Majlis Keselamatan Negara (MKN) meluluskan permohonan aktiviti pelancongan negara untuk kembali beroperasi.

 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti pelancongan tersebut adalah termasuk aktiviti luar (outdoor) seperti Zoo Negara, Legoland, dan lain-lain aktiviti.

 

"Semalam di dalam sidang khas MKN, kementerian MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) telah membentangkan cadangan untuk pembukaan beberapa aktiviti pelancongan. 

 

"Dan mesyuarat khas MKN semalam bersetuju pada dasarnya meluluskan permohonan daripada MOTAC untuk membuka aktiviti pelancongan antaranya termasuklah aktiviti luar (outdoor) seperti Zoo Negara, Legoland dan lain-lain aktiviti. 

 

"Walau bagaimanapun, kita telah meminta supaya MOTAC membentangkan SOP yang lebih terperinci dan jelas setelah mengadakan perbincangan dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan juga MKN," jelasnya dalam sidang akhbar harian PKPP dan PKPB hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, tarikh pelaksanaan kelulusan tersebut juga telah ditetapkan.

 

"Bagaimanapun, pada dasarnya kita telah meluluskan.

 

"Kalau tak silap saya dari segi tarikh berkuat kuasa telah pun kita tetapkan. Kita tunggu pembentangan berserta dengan SOP nanti," tambah beliau.

 

Selain MOTAC, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga turut terlibat dalam membentangkan cadangan untuk pembukaan aktiviti sukan terutamanya sukan luar (outdoor).

 

Susulan itu, KBS juga diminta untuk membentang SOP terperinci setelah berbincang dengan KKM dan MKN.

 

"Kita difahamkan mesyuarat jawatankuasa teknikal akan bermesyuarat pada hari Khamis untuk kita membangunkan SOP yang lebih jelas.

 

"Ini kerana banyak lagi perkara-perkara yang diminta oleh mereka termasuklah pertandingan bola sepak yang tertangguh selama ini," ujarnya. - DagangNews.com