MMC Ports terima ketibaan dua kapal pengangkut minyak mentah besar di Pelabuhan Yan | DagangNews Skip to main content

MMC Ports terima ketibaan dua kapal pengangkut minyak mentah besar di Pelabuhan Yan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Jun - MMC Port Holdings Sdn Bhd (MMC Ports), menerusi anak syarikat penuh miliknya iaitu Andaman Port Sdn Bhd telah menerima ketibaan dua kapal pengangkut minyak mentah besar (VLCC) di Pelabuhan Yan.

 

Ini menjadikannya pelabuhan pertama di bahagian utara Selat Melaka yang mengendalikan dua buah kapal VLCC di had pelabuhannya, kata MMC Ports dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut kumpulan itu, kedua-dua buah kapal VLCC yang didaftarkan di Hong Kong tersebut mempunyai draf maksimum sedalam 21 meter, menjadikannya kapal terbesar yang dikendalikan di Pelabuhan Yan sehingga hari ini.

 

Syarikat itu berkata pemindahan kargo minyak mentah melalui operasi kapal ke kapal (STS) di antara kedua-dua kapal tersebut telah berjaya dilaksanakan pada 17 dan 18 Jun 2023 di salah satu daripada 10 lokasi yang telah diluluskan.

 

“Kejayaan operasi pemindahan STS di Pelabuhan Yan ini adalah hasil daripada kajian simulasi teknikal yang menyeluruh, latihan komprehensif malim-malim kapal, penyediaan peralatan khusus dan kapal tunda daripada MMC Ports, penyertaan daripada pemain industri marin tempatan dan sokongan berterusan daripada pihak-pihak berkuasa seperti Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara,” katanya dalam

 

Tambahnya, analisis marin menyeluruh turut dijalankan bagi memastikan semua aspek keselamatan, risiko tumpahan minyak dan lain-lain risiko operasi untuk memastikan operasi STS ini dijalankan sejajar dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa marin tempatan, serta garis panduan Marpol Chapter 8, International Chamber of Shipping dan Oil Companies International Marine Forum (ICS/OCIMF).

 

MMC Ports menjelaskan bahawa aktiviti pemindahan STS ini dijalankan di lokasi khusus sejauh empat batu nautika dari persisiran pantai Pulau Bunting, Yan, Kedah.

 

“MMC Ports ketika ini sedang gigih memasarkan dan bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan STS tempatan dan serantau untuk menjadikan Pelabuhan Yan sebagai destinasi pilihan utama untuk operasi STS bagi kargo jenis petroleum dan gas,” tambahnya.

 

Menurutnya, operasi STS seumpama ini merupakan yang pertama kali dilaksanakan di bahagian utara Selat Melaka dan dengan kedalaman air sehingga 27 meter sesuai bagi kapal VLCC untuk masuk berlabuh.

 

Di samping itu, kedudukan strategik pelabuhan tersebut di bahagian utara Selat Melaka dijangka menjadikannya hab strategik dan pelabuhan utama bagi operasi pemindahan STS.

 

Tambahnya, ini juga menawarkan pilihan ideal untuk kapal besar beroperasi dan mengurangkan risiko ketika kapal berlayar merentasi Selat Melaka selain mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Organisasi Maritim Antarabangsa (IMO). - DagangNews.com