MMHE catat kerugian bersih RM270.4 juta akibat kos tambahan dalam segmen kejuruteraan berat | DagangNews Skip to main content

MMHE catat kerugian bersih RM270.4 juta akibat kos tambahan dalam segmen kejuruteraan berat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Feb - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) mencatatkan kerugian sebanyak RM107.8 juta pada suku keempat 2021 (4QFY21) menjadikan jumlah kerugian bersih sebanyak RM270.4 juta.

 

MIDF Research berkata, kerugian itu adalah hasil daripada pendapatan defisit yang dicatatkan syarikat itu iaitu RM23.9 juta pada 3QFY21 dan 8.3 juta 4QFY20.

 

Kerugian operasi MMHE adalah disebabkan berlakunya kos tambahan untuk projek sedia ada bagi segmen kejuruteraan berat namun kumpulan itu mencatatkan kerugian rosot nilai lebih rendah bagi perkhidmatan kapal luar pesisir (OSV) adalah rendah akibat pandemik COVID-19.

 

"MMHE dilaporkan mencatatkan penurunan pendapatan pada 4QFY21 sebanyak 37.9% yoy, tetapi berlaku peningkatan 11% qoq kepada RM432 juta dan untuk FY21 jumlah pendapatan terkumpul mereka turun sebanyak 6.3% yoy kepada RM1.47 bilion.

 

"Pendapatan yang rendah adalah berpunca daripada peruntukan kos tambahan untuk projek yang sedang berlangsung selain hasil daripada projek berkenaan.

 

"Bagi segmen marin, pendapatan yang rendah adalah berpunca daripada kekurangan aktiviti dok kering kerana sekatan sempadan akibat COVID-19 dan ia menjejaskan keuntungan operasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan varian Omicron pada 4QCY21 menyebabkan beberapa negara pengimport minyak utama menggubal perintah berkurung sebagai langkah memerangi jangkitan dan ia dilihat menjadi penghalang utama kepada pemulihan permintaan.

 

mmhe

 

Walaupun kadar kematian akibat varian Omicron adalah rendah namun ia mudah tersebar dan ia memberi kesan kepada rantaian bekalan serta harga bahan mentah.

 

"Bagaimanapun, MMHE merancang untuk meluaskan perniagaan mereka ke wilayah baharu dalam segmen baharu seiring dengan kawalan kos selain menyiapkan projek mengikut masa yang ditetapkan.

 

"Kami percaya menerusi pendekatan itu, MMHE akan dapat mengurangkan kerugiannya pada FY22," katanya.

 

mmhe

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu menurunkan saranan mereka daripada 'beli' kepada 'neutral' pada harga sasaran baharu iaitu RM0.44

 

"Kami menjangkakan kadar inflasi terhadap bahan mentah terutama besi serta rantaian bekalan akan terus terjejas pada masa kan datang," katanya. - DagangNews.com