Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Ogos - Pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi Motors di Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan prestasi jualan positif syarikatnya sejak Januari hingga Julai tahun ini dengan jumlah 4,008 unit kenderaan yang terjual.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tomoyuki Shinnishi berkata, prestasi positif yang dicapai itu menyebabkan nilai pasaran syarikat meningkat daripada 1.4% pada Julai 2019 kepada 1.7% pada Januari hingga Julai 2020.
"MMM gembira melihat prestasi positif yang dicatatkan selepas melalui tekanan akibat wabak COVID-19. Prestasi ini juga didorong oleh pengecualian cukai jualan 100% yang diumumkan kerajaan untuk kedua-dua SUV pemasangan tempatan kami iaitu ASX Compact SUV dan Outland SUV tujuh tempat duduk.
"Prestasi jualan yang baik ini juga membuktikan kesetiaan pelanggan terhadap jenama Mitsubishi di saat yang sukar ini," jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Mitsubishi Triton menguasai pasaran sebanyak 22% dari Januari hingga Julai 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu pada kadar 16.9%.
Triton kini telah menduduki tangga teratas dalam segmen double-cap pick-up trak di tiga buah negeri iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Kedah.
Jelas Shinnishi, MMM baru-baru ini juga mengumumkan syarikatnya bakal melancarkan Mitsubishi XPANDER bahari di Malaysia akhir tahun ini.
"MMM sangat teruja dengan pengenalan Mitsubishi XPANDER tujuh tempat duduk yang akan memberi momentum penjualan yang kuat hingga penghujung tahun.
"Permintaan dan kejayaan model terbaharu itu di negara-negara jiran mencerminkan kesesuaian kenderaan tersebut untuk memenuhi keperluan dan memenangi hati pelanggan di Malaysia," jelasnya lagi.
Susulan itu juga, beberapa bilik pameran Mitsubishi akan dinaik taraf kepada Identiti Visual (VI) terbaharu pada tahun ini bagi mengekalkan kedudukan utama syarikat dalam menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang. - DagangNews.com