KUALA LUMPUR 27 Dis - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengarahkan Bybit Technology Ltd (Bybit) menghentikan operasi laman web, aplikasi mudah alih atau mana-mana platform aplikasi digitalnya di Malaysia dalam tempoh 14 hari bekerja bermula 11 Disember 2024, kerana mengendalikan pertukaran aset digital (DAX) di Malaysia tanpa pendaftaran.
Menurut SC, syarikat berkenaan juga diarah menghentikan penyebaran, penerbitan atau hantaran sebarang iklan, sama ada melalui media sosial atau sebaliknya, kepada pelabur Malaysia dan segera menamatkan kumpulan sokongan Telegram Bybit untuk rakyat Malaysia.
"Suruhanjaya turut menekankan peranan Ketua Pegawai Eksekutif Bybit, Ben Zhou bagi memastikan semua arahan dipatuhi," jelas SC dalam satu kenyataan.
Keputusan itu dibuat selepas kebimbangan mengenai pematuhan platform tersebut terhadap keperluan peraturan tempatan dan perlindungan kepentingan pelabur.
"SC memandang serius pelanggaran ini. Tindakan mengendalikan DAX tanpa pendaftaran SC sebagai pengendali pasaran yang diiktiraf (RMO) adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 7(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007," katanya.
SC turut memaklumkan bahawa Bybit telah mematuhi semua arahan SC setakat ini.
Menurut SC, Bybit dan Zhou telah dimasukkan dalam Senarai Amaran Pelabur SC sejak Julai 2021.
Selain itu, suruhanjaya turut mengingatkan pelabur untuk melabur dan berurus niaga hanya dengan RMO yang berdaftar dengan SC, kerana mereka telah melalui pemeriksaan peraturan yang ketat dan mesti mematuhi garis panduan bagi melindungi pelabur di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.
"Mereka yang melabur dalam entiti atau individu yang tidak berlesen atau tidak berdaftar, tidak dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia dan dengan itu terdedah kepada risiko seperti penipuan dan pengubahan wang haram.
"Orang ramai dinasihatkan untuk memaklumkan SC sekiranya mengetahui mana-mana laman web yang mencurigakan atau menerima panggilan telefon atau e-mel yang menawarkan skim pelaburan yang tidak sah, terutamanya yang menjanjikan pulangan tinggi dengan sedikit atau tiada risiko," tambahnya. - DagangNews.com