MMU, ZTE lancar hab kejuruteraan komunikasi di Cyberjaya bagi memperkasa pertumbuhan modal insan | DagangNews Skip to main content

MMU, ZTE lancar hab kejuruteraan komunikasi di Cyberjaya bagi memperkasa pertumbuhan modal insan

Kerjasama itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia, Teo Nie Ching (empat dari kiri) di MMU Kampus Cyberjaya.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Universiti Multimedia (MMU) dan ZTE Corporation telah menjalin kerjasama untuk menubuhkan hab kejuruteraan komunikasi di Cyberjaya Malaysia.

 

Kerjasama membangunkan ‘MMU NexGen Communication Engineering Hub’ merangkumi program pembangunan bakat komunikasi generasi seterusnya yang merangkumi keseluruhan pendidikan universiti pelajar dan memberikan sokongan kepada pekerjaan pasca siswazah mereka.

 

Ini termasuk biasiswa, sukatan pelajaran kuliah bersesuaian, projek penyelidikan, latihan amali mendalam dan peluang pekerjaan yang menjanjikan, menurut satu kenyataan media hari ini.

 

Di bawah kerjasama itu, MMU dan ZTE menubuhkan tiga makmal termaju, iaitu makmal NexGen, makmal IDEAS dan makmal Inspire and Innovate, mewakili era baharu dalam penyelidikan dan pembangunan telekomunikasi.

 

Hab kejuruteraan komunikasi tersebut dipandu oleh empat tonggak utama iaitu meningkatkan kemahiran profesional pelajar; memupuk kreativiti dan semangat; menjana projek penyelidikan dan pembangunan berkualiti tinggi , serta menggalakkan penyertaan industri yang lebih besar.

 

Kerjasama itu mewakili satu lonjakan ketara ke arah memupuk generasi jurutera dan inovator komunikasi, memacu inovasi, memupuk bakat, dan mempercepatkan evolusi industri telekomunikasi di Malaysia.

 

Presiden MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud menzahirkan keyakinan universiti swasta itu terhadap kerjasama terbabit yang akan akan memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia untuk berjaya.

 

 

Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud
Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud

 

 

“Hab tersebut mempamerkan komitmen kami untuk menyampaikan pendidikan dan penyelidikan peringkat atasan. Kerjasama ini akan menyediakan pelajar dengan sumber, bimbingan dan peluang untuk cemerlang dalam industri telekomunikasi,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Naib Presiden Eksekutif ZTE, Gu Junying berkata kerjasama tersebut menonjolkan komitmen tidak berbelah bahagi ZTE untuk memupuk bakat telekomunikasi yang penting untuk memacu kemajuan dan inovasi industri.

 

“Melalui hab penyelidikan itu, ZTE membuat pelaburan besar bukan sahaja pada masa depan industri telekomunikasi tetapi juga dalam memajukan inovasi dan kemajuan digital, sebagai sokongan untuk rangka kerja dasar Madani Malaysia,” ujar beliau. - DagangNews.com