MN Holdings diunjur terima lebih banyak kontrak dalam beberapa bulan akan datang - HLIB | DagangNews Skip to main content

MN Holdings diunjur terima lebih banyak kontrak dalam beberapa bulan akan datang - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Hong Leong Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan MN Holdings akan mendapat lebih banyak kontrak dalam beberapa bulan akan datang terutamanya daripada Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).

 

Firma penyelidikan itu menyemak naik ramalan pendapatan kumpulan itu sebanyak 6% bagi FY25 dan FY26 dengan menggabungkan andaian kemenangan kontrak yang lebih tinggi sebanyak RM320 juta daripada RM245 juta pada FY25.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM1.62 sesaham berikutan kejayaan mereka meraih kontrak baharu daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menerusi MN Power Transmission Sdn Bhd meraih kontrak bernilai RM86 juta daripada TNB bagi pembinaan pencawang di Kampung Awah, Pahang  berkuat kuasa 24 Julai 2024.

 

HLIB berkata, ia merupakan kontrak kedua tahun ini, yang pertama merupakan kontrak RM136 juta yang diumumkan minggu lepas, menaikkan buku pesanan kumpulan itu ke paras tertinggi sepanjang masa RM654.5 juta.

 

TNB dijangka menyediakan lebih banyak kontrak kepada kumpulan itu, bagi memenuhi unjuran pertumbuhan permintaan elektriknya sebanyak 1.6% hingga 4.3%.

 

“Melihat ke hadapan, Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) yang akan datang iaitu pada 2025-2027 menyaksikan TNB sekali lagi meningkatkan perbelanjaannya bagi memastikan keselamatan bekalan kuasa, dan memenuhi unjuran pertumbuhan permintaan elektrik sebanyak 1.6% hingga 4.3%.

 

"Perbelanjaan lebih tinggi daripada TNB ini dijangka menyediakan lebih banyak peluang kontrak kepada MN Holdings," katanya.

 

Selain itu, HLIB Research berkata, daripada RM1 bilion buku tender kumpulan itu, kira-kira 40% dikaitkan dengan projek TNB.

 

“Memandangkan rekod prestasi kukuh MN Holdings dalam menjalankan kerja kejuruteraan utiliti bawah tanah dan pekerjaan kejuruteraan pencawang untuk TNB, kami menjangkakan lebih banyak projek daripada TNB pada masa hadapan,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyukai MN Holdings kerana pendedahannya kepada sektor solar dan pusat data yang sedang berkembang pesat.- DagangNews.com