MN Holdings raih kontrak LSSPV bernilai RM12.2 juta di Pekan | DagangNews Skip to main content

MN Holdings raih kontrak LSSPV bernilai RM12.2 juta di Pekan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Julai - Pakar utiliti bawah tanah dan kejuruteraan pencawang, MN Holdings Berhad berjaya mendapatkan kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem voltan tinggi dan kerja-kerja berkaitan stesen jana tenaga solar berskala besar (LSSPV) bernilai RM12.2 juta di Pekan, Pahang.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, anak syarikatnya MN Power Transmission Sdn. Bhd. telah menerima surat lantikan (LOA) daripada ERS Energy Sdn. Bhd. sebagai subkontraktor untuk kerja-kerja loji janakuasa 50MWAC LSSPV di Tanjung Batu.

 

Menerusi kontrak itu, MN Power bertanggungjawab untuk EPCC kemudahan sambungan loji tenaga solar dan untuk sistem voltan sederhana 33kV serta sistem voltan tinggi 132kV termasuk kerja loji tenaga solar (SPPW) untuk sistem voltan tinggi 132kV.

 

ERS Energy penyedia perkhidmatan EPCC solar terkemuka dengan lebih 10 tahun pengalaman industri dalam projek solar kediaman, komersil dan industri serta solar berskala besar.

 

Kontrak untuk kerja-kerja tersebut adalah untuk tempoh 12 bulan bermula 15 Julai 2022 hingga 14 Ogos 2023.

 

Pengarah Eksekutif MNHB, Dang Siong Diang berkata, kerjayaan meraih kontrak itu menjadikan jumlah tempahan kumpulan itu berada pada paras RM231.1 juta.

 

"Meskipun berdepan cabaran daripada gangguan rantaian bekalan sehingga kenaikan kos, kontrak ini mengesahkan masa depan yang cerah untuk aktiviti di dalam industri solar.

 

"Kami akan terus memanfaatkan pengalaman luas kami dalam bidang utiliti bawah tanah dan kejuruteraan pencawang bagi merah lebih banyak projek pada masa akan datang," katanya. - DagangNews.com