Modul dakwah dan kempen digital pupuk semangat belia sertai aktiviti kemasyarakatan | DagangNews Skip to main content

Modul dakwah dan kempen digital pupuk semangat belia sertai aktiviti kemasyarakatan

Oleh Dr. Norsimaa Mustaffa dan Dr. Kartini Kamaruzzaman

Universiti Islam Malaysia (USIM) dengan Kerjasama Sekolah Kebangsaan Taman Tasik Jaya (STAJA) Seremban, Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seremban menganjurkan Siri Ke-3 program Karnival SULAM USIM-STAJA ExploreSTREAM 3.0 2024 peringkat negeri, dalam menyokong keterlibatan dan interaksi pelajar dengan komuniti.

 

Inisiatif bagi program ini adalah memperkasa kebolehan pelajar bagi menangani isu setempat menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di bilik kuliah.

 

Program Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) fasa satu pada kali ini dijalankan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM di bawah anjuran kursus SULAM Dakwah Elektronik dan Kempen, Program Komunikasi Media Baharu.

 

SULAM yang pertama kali dilancarkan pada tahun 2019 oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dilihat sebagai satu bentuk pendidikan kepada para pelajar melalui pengalaman yang melibatkan aktiviti bagi menangani keperluan atau permasalahan kemasyarakatan.

 

Konsep SULAM yang turut menjurus kepada aspek perkhidmatan dan pendidikan amat menekankan keseimbangan dalam hasil pembelajaran perkhidmatan yang diberikan kepada komuniti.

 

Melalui program SULAM ini, pelajar berpeluang meneroka berkaitan STREAM yang merujuk kepada Sains, Teknologi, Agama/Keagamaan, Kejuruteraan, Artistry dan Matematik, selain mengintegrasikan Ilmu Naqli dan Aqli (iNaQ) dalam penyampaian pelaksanaan amali STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) untuk memberi impak yang lebih holistik.

 

 

parafrasa

 

parafrasa

 

 

Pelaksanaan SULAM yang disulami dengan STREAM serta penglibatan pelajar dan komuniti secara meyeluruh dilihat dapat memupuk semangat kerjasama, membina pemikiran yang kritis dan membangun individu berkepimpinan dalam mendepani ambang evolusi 4.0.

 

Seramai 156 pelajar USIM dan murid dari Sekolah Kebangsaan Taman Tasik Jaya, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Mohd Said dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi Seremban terlibat dengan program ini.

 

Program yang mengandungi 3 modul utama iaitu ‘Modul 1: Apa Itu Dakwah dan Kempen’, ‘Modul 2: Kenali Diri, Kenali Masyarakat’, dan ‘Modul 3: Ready, Action!’ turut dihadiri oleh Aziz Jakfar, Pegawai Pendidikan Negeri Sembilan.

 

Tenaga Pengajar Kursus Dakwah Elektronik dan Kempen, Dr. Kartini Kamaruzzaman dan Dr. Norsimaa Mustaffa menerusi Modul Dakwah dan Kempen Digital ini menyatakan pentingnya pelajar diasah dan mempunyai kemahiran berkaitan isi kandungan digital yang diterapkan dengan elemen dakwah menerusi strategi berkempen.

 

 

usim
Dr. Norsimaa Mustaffa dan Dr. Kartini Kamaruzzaman adalah Pensyarah Program Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

 

 

Penekanan diberikan dalam mengenal pasti kaedah berkempen menerusi platform digital dan media sosial.

 

Kursus ini antara kursus SULAM USIM yang mengintegrasikan iNaQ sebagai wadah untuk memberikan pemahaman dari sudut teori dan konsep serta bertujuan mendokong para pelajar dalam mengaplikasikan teknologi media baharu dan amalan kempen sosial dalam dunia sebenar.

 

SULAM berpotensi menjadi satu elemen Pembelajaran Berimpak Tinggi dimana pelajar turut didedahkan dengan elemen – CARE (Community Resilience Experiential Learning) yang merupakan teras kurikulum.

 

Penerapan teras nilai USIM dalam projek SULAM seperti professional, efisyen, alamiyyah (global), muafakat dan amanah sekaligus dilihat mewujudkan persekitaran kerjasama di antara pelajar, tenaga pengajar dan komuniti sasaran melalui Tadabbur al-Quran dan Kesatuan Ilmu (mengembalikan kegemilangan tamadun islam), Pengurusan Khilaf dan Persaudaraan Islam (menguruskan perselisihan umat islam) dan Keikhlasan dan Nilai Tinggi (menghadapi cabaran sekularisasi dan pemisahan ilmu).

 

Implementasi SULAM juga dapat meningkatkan pemahaman pelajar dalam pembelajaran akademik di samping membina ukhuwah bersama komuniti.

 

Apa yang menariknya juga adalah kerana komuniti turut dilibatkan untuk bersama-sama melakukan aktiviti yang berkait dengan kurikulum pendidikan.

 

Kaedah SULAM yang dilaksanakan dalam telah memberi banyak nilai tambah kepada pelajar dari segi aspek membangunkan kerjasama bersama pihak luar dan mengasah kemahiran insaniah disamping keterampilan berkepimpinan.

 

 

parafrasa

 

 

Kursus ini melibatkan seramai 71 orang pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM dengan keterlibatan daripada pelajar yang merangkumi dua kursus iaitu Da’wah dan Pengurusan Islam serta Pengajian Akidah dan Agama.

 

Seramai 85 orang pelajar daripada Sekolah Kebangsaan Taman Tasik Jaya, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Mohd Said dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi Seremban menjadi komuniti sasaran dalam mengenalpasti dan menyelesaikan permasalahan atau isu berkaitan dakwah elektronik dan kandungan yang ingin dikempenkan disamping mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang dipelajari dari kursus tersebut.

 

Justeru, menerusi program yang memberi latihan digital kepada komuniti ini membolehkan mereka tidak tertinggal dalam arus digitalisasi.

 

Diharapkan, sokongan yang berterusan daripada pelbagai pihak untuk memastikan usaha transformasi pendidikan dapat dipertingkatkan, seterusnya membantu negara mencapai 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) menjelang 2030.

 

Pelaksanaan pendekatan pembelajaran inovatif seperti projek SULAM mampu memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi bagi menggembangkan potensi diri dalam memastikan usaha transformasi sesi pengajaran dan pembelajaran pada peringkat pengajian tinggi terus berkembang dengan cemerlang. - DagangNews.com