MOF masih pegang 51% pemilikan ke atas Exchange 106 | DagangNews Skip to main content

MOF masih pegang 51% pemilikan ke atas Exchange 106

Bangunan Exchange 106 di Kuala Lumpur. Gambar oleh NikNajmuddin_Photography

 

KUALA LUMPUR 12 April - Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan bahawa MKD Signature Sdn Bhd (MSSB), syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) masih kekal sebagai pemegang saham utama Mulia Property Development Sdn Bhd (MPDSB) dan tidak wujud sebarang perjanjian jualan saham kepada mana-mana pihak.

 

MoF menerusi kenyataan medianya berkata, MPDSB merupakan pemilik bangunan Exchange 106 bagi Projek Tun Razak Exchange (TRX).

 

“Keputusan penglibatan MSSB di dalam pembangunan Exchange 106 pada 19 Julai 2017 dibuat bagi memelihara kepentingan projek TRX yang terpalit dengan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana kesukaran MPDSB mendapatkan pinjaman untuk membiayai projek tersebut.

 

“Penjualan saham MSSB dalam syarikat MPDSB adalah tertakluk kepada Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Pemegang Saham yang dimeterai pada 2017 yang mana Mulia International Ltd (MIL) mempunyai hak untuk melaksanakan ‘Call Option’ (Opsyen Beli) untuk membeli semula 51% saham MSSB pada harga yang telah dipersetujui dan setelah menjelaskan pinjaman yang diberikan oleh MSSB,” katanya.

 

Kenyataan MoF itu sebagai mengulas satu laporan media berhubung dakwaan penjualan saham milik MSSB tersebut.

 

Menurut MoF, MSSB telah mengambil alih 51% saham dalam MPDSB pada 19 Julai 2017 daripada MIL manakala baki 49% dimiliki oleh MIL. 

 

Sementara itu, Koperasi Amanah Pelaburan Bhd (KAPB) menjelaskan, ia tidak membeli 51% saham dalam Menara 106 di Tun Razak Exchange (TRX) dengan menyifatkan pendedahan perkara itu sebelum ini sebagai “salah komunikasi”.

 

Dalam kenyataan kepada FMT, KAPB berkata ia “tidak sengaja memaklumkan” media pada Jumaat mengenai pembelian saham dalam projek pembangunan itu.

 

Ketika itu, Pengerusi KAPB, Ilyas Mohamed, mengesahkan pembelian saham sebanyak 51% dalam Pembangunan Harta Mulia yang membangunkan Exchange 106, dengan berkata perjanjian ditandatangani lebih setahun lalu namun butirannya akan dimuktamadkan pada Jun.

 

Katanya, saham itu dibeli daripada Kementerian Kewangan dan Kumpulan Mulia. Walaupun tidak mendedahkan jumlah terlibat dalam pengambilalihan pegangan itu, Ilyas menyifatkannya sebagai “perjanjian yang luar biasa.”

 

Ini mencetuskan pertikaian daripada bekas perdana menteri, Najib Razak dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, susulan kekurangan butiran mengenai pengambilalihan terhadap pegangan Kementerian Kewangan dalam projek pembangunan itu.

 

KAPB menjelaskan syarikat gabungan, AP Holding Berhad memasuki perjanjian dengan Kumpulan Mulia mengenai perkongsian strategik yang turut merangkumi pilihan untuk memperoleh pegangan dalam Exchange 106, tertakluk kepada izin Kementerian Kewangan.

 

“Pada peringkat ini, kami mengesahkan tidak berlaku pembelian saham dalam Exchange 106, malah tiada juga keperluan untuk memasuki perjanjian dengan Kementerian Kewangan dan/atau syarikat gabungannya berkait dengan Exchange 106.”  - DagangNews.com