Mohamad Damshal Awang Damit dilantik Pengarah Eksekutif Pelaburan TH | DagangNews Skip to main content

Mohamad Damshal Awang Damit dilantik Pengarah Eksekutif Pelaburan TH

Mohamad Damshal Awang Damit

Mohamad Damshal Awang Damit

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pelantikan Mohamad Damshal Awang Damit sebagai Pengarah Eksekutif (Pelaburan) yang baharu.

 

Pelantikan yang berkuat kuasa 11 Januari 2021 itu dibuat bagi menggantikan Hizammuddin Jamalluddin.

 

Berpengalaman lebih daripada 27 tahun dalam industri pelaburan tempatan dan luar negara, beliau sebelum ini diberi amanah untuk memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Pelaburan TH.

 

Selain itu, Mohamad Damshal juga adalah seorang Penganalisis Kewangan Bertauliah atau Chartered Financial Analyst (CFA) di samping menjadi bekas anggota TH dengan perkhidmatan sejak 1999 hingga 2003 dalam perancangan korporat dan mengetuai pengurusan pelaburan pendapatan tetap.

 

Mengulas berkaitan pelantikan tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusof berkata, TH mengambil kira pengalaman dan kepakaran anggota dalamannya untuk menyandang jawatan dalam pengurusan kanan sekaligus selari dengan Pelan Rancangan Penggantian yang sedang dibangunkan.

 

“Dengan pelantikan Mohamad Damshal, Pengurusan Kanan TH yakin kepakaran beliau dalam aspek pelaburan dapat membantu TH menghadapi persekitaran ekonomi yang sangat mencabar berikutan kesan dari wabak Covid-19. 

 

"TH juga sedang menumpukan usaha untuk melahirkan lebih ramai bakat pengurusan professional selaras dengan matlamatnya untuk menjadi sebuah institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas lanjut, Nik Mohd Hasyudeen turut memberi ucapan penghargaan kepada Hizammuddin Jamalluddin yang sebelum ini menyandang jawatan tersebut.

 

"Komitmen berterusan dan kepakaran yang beliau sumbangkan sememangnya amat berharga kepada TH dan kami ucapkan selamat maju jaya untuk kerjaya baharu beliau," tambahnya. - DagangNews.com