Mohamed Nor lepaskan jawatan anggota lembaga pengarah Serba Dinamik | DagangNews Skip to main content

Mohamed Nor lepaskan jawatan anggota lembaga pengarah Serba Dinamik

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Serba Dinamik Holdings Bhd memaklumkan bahawa Datuk Mohamed Nor Abu Bakar telah meletak jawatan sebagai pengarah bebas, beberapa hari selepas rombakan ke atas kedudukannya sebelum ini sebagai pengerusi lembaga pengarah.

 

Mohamed Nor melepaskan jawatan pengarah bukan eksekutif Serba Dinamik atas `alasan peribadi', kata syarikat itu sambil menambah, ia berkuatkuasa 19 Jun lalu.

 

Beliau sebelum ini berperanan sebagai pengerusi syarikat minyak dan gas itu sejak 31 Mei 2016.

 

Dalam rombakan lembaga pengarah 15 Jun lalu, kedudukan Mohamed Nor diganti oleh Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed, yang bersama dua lagi Masleena Zaid dan Johan Mohamed Ishak, diumum sebagai tiga pengarah bebas baharu syarikat.

 

Mohamed Nor, 71, memulakan kerjaya di Chemical Co of Malaysia Bhd pada 1974, sebelum menyertai Petroliam Nasional Bhd pada 1981.

 

Dengan latar belakang sebagai jurutera kimia, beliau telah memegang pelbagai peranan di dalam syarikat minyak nasional itu, dengan jawatan terakhir sebagai pengerusi Kerteh Integrated Petrochemical Complex, sebelum bersara pada 2007. - DagangNews.com