Mohd Effendi Norwawi dilantik sebagai pengerusi baharu MIER | DagangNews Skip to main content

Mohd Effendi Norwawi dilantik sebagai pengerusi baharu MIER

Tan Sri Mohd Effendi Norwawi
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 12 Sept - Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) melantik Tan Sri Mohd Effendi Norwawi sebagai pengerusi baharu lembaga pemegang amanahnya, berkuat kuasa 9 September 2022.

 

Beliau menggantikan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, yang meletak jawatan sebagai pengerusi MIER untuk menjawat jawatan baharu sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

 

Bagaimanapun, Sulaiman kekal sebagai Pemegang Amanah Institut tersebut.
 

 

Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob
              Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob

 


“Mohd Effendi membawa kepada MIER pengalaman luasnya dalam sektor swasta, perancangan pembangunan dan dasar awam.

 

“Beliau adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam perancangan ekonomi (2006-08), dan beliau adalah Menteri Pertanian (1999-2004),” kata MIER dalam satu kenyataan.

 

Di peringkat negeri, Mohd Effendi adalah pengerusi eksekutif Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) dari 1981 hingga 1995.

 

Beliau juga seorang tokoh terkenal dalam komuniti perniagaan Malaysia, pernah berkhidmat sebagai pengerusi eksekutif ENCORP Bhd, Bloomberg TV Malaysia dan NTV7.

 

Beliau kini merupakan pengerusi Enspire Ventures Sdn Bhd, sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang beroperasi dalam pelbagai sektor, termasuk pendidikan tinggi, pelancongan dan hospitaliti, dan pembangunan hartanah.

 

Mohd Effendi memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam bidang Pentadbiran Pembangunan, Universiti Tasmania, Australia.

 

Alma mater beliau juga menganugerahkan beliau Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam Undang-undang pada Oktober 2000 dan melantik beliau sebagai Profesor Adjung di Fakulti Perniagaannya pada November 2008.

 

"Lembaga pemegang amanah mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob atas komitmennya dan amat berterima kasih atas sumbangannya yang tidak ternilai sebagai pengerusi MIER dari 2020 hingga kini," tambah MIER. - DagangNews.com