NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Nov - Salah sebuah syarikat multimedia Over-the-Top (OTT) terbesar di Asia Tenggara, Mola mengumumkan pelancarannya di Malaysia bersama rakan kongsi tempatan untuk membawakan kandungan-kandungan premium menerusi aplikasinya.
Platform hiburan itu meyasarkan untuk memberikan penonton tempatan lebih banyak kandungan premium selain memberi tumpuan kepada inisiatif penglibatan sosial.
“Selain dari kandungan yang unik, kami juga memperkasakan komuniti untuk mengembangkan kemahiran, bakat serta pengetahuan mereka dalam industri muzik dan sukan melangkaui sempadan geografi untuk berjaya di peringkat antarabangsa.
"Kami mahu menjadi sebahagian daripada komuniti, itulah sebabnya kami begitu fokus untuk menghasilkan rancangan dan aktiviti yang bukan sekadar menghiburkan penonton sahaja,” kata wakil rasmi Mola, Mirwan Suwarso.
Mirwan berkata, pelancaran Mola adalah tepat pada masanya memandangkan jangkaan peningkatan dalam penembusan isi rumah negara bagi Video Langganan atas Permintaan (SVoD) didorong oleh peningkatan penggunaan platform perkhidmatan video OTT.
Peluasan pasaran syarikat itu juga meliputi Singapura, UK dan Itali mengambil kesempatan dari pertumbuhan pasaran OTT dunia yang tinggi.
Mola akan menampilkan siri dan filem premium termasuk Yellowstone, Catch 22 dan For Life selain acara sukan secara langsung iaitu UFC, Bellator MMA, Liga Pro Belgium, Piala Perancis dan Serie B.
Rancangan secara langsung Mola Chill Fridays menampilkan pemuzik terkenal, termasuk Kehlani, Seal dan Charlie Puth, di mana penonton boleh berinteraksi dengan penghibur dan meminta lagu.
Rancangan bual bicara interaktif Mola Living Live menampilkan selebriti terkenal, termasuk Francis Ford Coppola, Michael Douglas, Gary Vaynerchuck, Mike Tyson, Susan Sarandon, Sharon Stone dan John Travolta.
Penonton di rumah dijemput untuk mengemukakan soalan kepada tetamu selebriti seperti Alec Baldwin, Jude Law dan Sylvester Stallone bagi berkongsi pengalaman hidup mereka.
“
Kami sangat teruja kerana dapat memainkan peranan penting dalam membawa Mola ke Malaysia untuk mengembangkan ekosistem dan mencipta platform lain untuk penerbit kandungan tempatan menyajikan karya kreatif mereka untuk tontonan antarabangsa,” kata Pengasas SEDANIA Corporation yang juga rakan kongsi Mola, Datuk Azrin Mohd Noor.
Bersempena dengan pelancarannya, pelanggan baharu yang berdaftar akan diberikan tempoh percubaan percuma selama sebulan kemudian dikenakan bayaran bulanan pada harga RM34.99.
Mola boleh diakses melalui aplikasi Mola atau di laman webnya di www.mola.tv.-DagangNews.com