Momentum pemulihan Malaysian Pacific Industries perlahan, Kenanga Research kurangkan unjuran untung bersih 26% bagi FY24 | DagangNews Skip to main content

Momentum pemulihan Malaysian Pacific Industries perlahan, Kenanga Research kurangkan unjuran untung bersih 26% bagi FY24

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Feb - Kenanga Research mengurangkan unjuran keuntungan bersih Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24) sebanyak 26% memandangkan momentum pemulihan kumpulan masih perlahan daripada jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘market perform’ dengan mengurangkan harga sasaran (TP) sebanyak 11% kepada RM24.30 sesaham daripada RM27.20 berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) tahun kalendar 2023 (CY24) tidak berubah sebanyak 26 kali, mewakili diskaun 10% kepada PER purata hadapan syarikat pesaing.

 

Firma itu melaraskan semula unjuran berkenaan selepas pengilang pembungkusan dan ujian semikonduktor itu mencatat prestasi lemah dalam tempoh separuh pertama FY24.

 

Keuntungan bersih terasnya merosot 31.5% tahun ke tahun kepada RM48.7 juta pada tempoh itu akibat peningkatan kos operasi dan hanya meliputi unjuran setahun penuh firma dan konsensus masing-masing pada 30% dan 35%.

 

Melihat pada perspektif yang lebih menguntungkan pada asas suku ke suku, Kenanga Research berkata pendapatan MPI pada 2QFY24 agak mendatar dengan kenaikan 1.9% tetapi keuntungan bersih teras meningkat hampir dua kali ganda (walaupun pada asasnya rendah). 

 

Firma tersebut mentafsirkan ini sebagai petunjuk bahawa kumpulan itu semakin memulih, walaupun mungkin tidak pada momentum yang dijangkakan.

 

“Kami optimis terhadap momentum pemulihan kumpulan yang berterusan, disokong oleh keupayaannya untuk mengekang kos (seperti pengurangan buruh di kilang Suzhou, China) dan mengoptimumkan kecekapan rantaian bekalan. 

 

“Bagaimanapun, ia masih suram berbanding prestasi ketika kemuncak kitaran naik baru-baru ini. Selain itu, terdapat kebimbangan pada suku berikutnya, yang dijangka terjejas bermusim berikutan cuti Tahun Baru Cina, yang membawa kepada penutupan berjadual kumpulan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kenanga Research berkata, ia menyukai MPI kerana pendedahan kukuhnya dalam segmen semikonduktor automotif yang semakin berkembang, selain usahanya dalam teknologi baharu seperti galium nitrida dan silikon karbida, serta kepakaran unggulnya dalam pembungkusan cip pengurusan kuasa untuk pusat data.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata prospeknya dalam jangka sederhana akan agak perlahan kerana tiada pemulihan ketara dalam permintaan cip daripada sektor elektronik pengguna serta pusat data.

 

Pada pukul 11:51 pagi ini, saham MPI telah melonjak RM1.72 atau 6.6% kepada RM27.90, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM5.9 bilion. Sahamnya menjadi antara kaunter yang mencatat keuntungan tinggi dan aktif didagangkan setakat ini. - DagangNews.com