Mona Suraya dilantik Pengarah Urusan Affin Hwang Capital | DagangNews Skip to main content

Mona Suraya dilantik Pengarah Urusan Affin Hwang Capital

Mona Suraya Kamaruddin

Mona Suraya Kamaruddin

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Affin Hwang Capital membuat pelantikan Pengarah Urusan Kumpulan baharu iaitu Mona Suraya Kamaruddin berkuat kuasa hari ini.

Affin Hwang Capital dalam satu kenyataan berkata, Mona mempunyai pengalaman selama 29 tahun dalam bidang pasaran modal khususnya ekuiti Malaysia.

"Pengalaman tersebut adalah termasuk hampir sembilan tahun dalam penyelidikan ekuiti dan 20 tahun dalam penjualan ekuiti.

"Mona turut berkhidmat sebagai Pengurus Negara dan Pengarah Urusan Nomura Securities Malaysia sebelum menyertai Affin Hwang Capital," jelas Affin Hwang Capital.

Mona dan pasukannya di Nomura memainkan peranan penting dalam penubuhan dan pengembangan francais ekuiti Malaysia sejak 11 tahun lalu.

Sebelum menyertai Nomura, beliau merupakan Naib Presiden, Jualan Institusi di JPMorgan Securities Malaysia.

Beliau memulakan kerjayanya dalam pasaran modal pada 1991 sebagai penganalisis pelaburan di beberapa institusi kewangan termasuk Arab Malaysian Securities, Standard Chartered Securities Malaysia and Crosby Securities Malaysia.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda (Ekonomi) Perakaunan daripada University College of Wales, Aberystwyth, beliau turut pernah berkhidmat sebagai Ketua Penyelidik di MGI Securities Malaysia. - DagangNews.com