Mondelez sepadukan saluran jualan bagi penuhi peningkatan permintaan pasca pandemik | DagangNews Skip to main content

Mondelez sepadukan saluran jualan bagi penuhi peningkatan permintaan pasca pandemik

Mondelz telah melabur di kemudahan semasanya di Shah Alam, Selangor, dan Prai, Pulau Pinang dan dalam proses melengkapkan kedua-dua fasiliti tersebut dengan panel solar atas bumbung
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 27 Mei – Peneraju pasaran dalam kategori coklat dan biskut, Mondelēz International telah mengembangkan lagi saluran digital syarikat tersebut dan mengintegrasi pilihan pembelian ke dalam strategi holistik omnichannel yang lebih luas bagi menangani penangan pertumbuhan pesat platform dalam talian (online), luar talian (offline) serta saluran runcit berikutan pandemik COVID-19.

 

Pada dasarnya, omnichannel ditakrifkan sebagai pendekatan jualan berbilang saluran yang menyediakan para pengguna dengan pengalaman pelanggan bersepadu.

 

Pengarah Urusan Malaysia dan Singapura, Narmeen Khan berkata bagi pasaran Malaysia, syarikat itu hanya baru menyusun langkah ke dalam perdagangan digital, dan menumpukan pada memacu pendekatan omnichannel dalam menyampaikan produk syarikat tersebut kepada pengguna.

 

“Kami telah memperluaskan capaian kami kepada e-tailer, pasaran, serta rakan kongsi runcit yang telah mengukuhkan platform e-dagang mereka dalam dua tahun lepas. Kami akan terus memerhatikan ruang ini dan bagaimana tabiat pembelian pengguna berkembang,” beliau memberitahu DagangNews.

 

Beliau menjelaskan bahawa pandemik telah menganjalkan lagi permintaan dan jangkaan pengguna yang mahukan akses yang lebih mudah dan pantas bagi makanan ringan, yang mana mereka mahu makanan ringan ini mudah didapati di mana-mana, pada bila-bila masa, bagi keperluan berbeza dan di semua titik sentuh.

 

"Antara kesan pandemik yang boleh dilihat ke atas trend pengguna dan makanan adalah mereka (pengguna) lebih terbuka untuk mencuba produk dan jenama baharu, di samping membeli melalui platform dalam talian dan menggunakan perkhidmatan penghantaran untuk kemudahan, berkongsi dan memberi hadiah.

 

“Tabiat ini telah berakar umbi sepanjang dua tahun pandemik melanda dan ini akan berterusan walaupun dalam keadaan norma baharu, melengkapkan kebangkitan semula pembelian impulsif yang didorong oleh kebebasan untuk bergerak ke mana-mana," kata beliau.


 

Narmeen Khan
                                        Narmeen Khan

 

 

Menyentuh mengenai sumbangan platform digital kepada keuntungan syarikat, beliau menjelaskan bahawa ketika ini perdagangan digital hanya menyumbang kira-kira enam peratus daripada hasil keuntungan di peringkat global pada tahun 2021.

 

Mengulas isu kemampanan, Narmeen, yang menyandang jawatan itu pada Februari 2022, berkata syarikat pengeluar barangan pengguna cepat laris (FMCG) itu telah melabur di kemudahan semasanya di Shah Alam, Selangor, dan Prai, Pulau Pinang dan dalam proses melengkapkan kedua-dua fasiliti tersebut dengan panel solar atas bumbung sebagai sebahagian daripada langkah ke arah menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui.

 

Memetik laporan State of Snacking 2021, Narmeen berkata, 85 peratus pengguna global cenderung memilih atau membeli makanan ringan daripada syarikat yang berusaha untuk mengimbangi kesan alam sekitar mereka dan pengguna menyelaraskan keputusan pembelian dengan nilai-nilai murni dan cara ia memberi kesan kepada manusia dan planet secara keseluruhan.

 

"Kedua-dua fasiliti di Shah Alam dan Prai juga melaporkan pengurangan gabungan penggunaan air sebanyak 18.6 peratus dan sisa sebanyak 11.3 peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya. Kami menjadikan makanan ringan kami lebih mampan dengan menggunakan kurang tenaga, air dan bahan buangan, dengan bahan yang diketahui dan dipercayai oleh pengguna.

 

"Malah, kami semakin maju sejajar dengan matlamat Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus global kami," ulas beliau lagi.

 

Terdahulu dilaporkan bahawa Mondelez International, yang merupakan pengeluar coklat Cadbury Dairy Milk dan biskut OREO akan memastikan produknya kekal mampu milik dan pada masa yang sama berkualiti tinggi walaupun berdepan dengan kesan inflasi yang disebabkan oleh kenaikan kos global.

 

Kenaikan mendadak dalam kos keseluruhan rantaian nilai, terutamanya dalam komoditi, logistik dan pembungkusan adalah disebabkan keadaan gangguan rantaian pengeluaran dunia yang meruncing didorong faktor berkaitan dengan pengangkutan, pembungkusan, minyak makan, dan tenusu. – DagangNews.com