Moody’s Analytics lihat ekonomi Malaysia ‘berisiko’ | DagangNews Skip to main content

Moody’s Analytics lihat ekonomi Malaysia ‘berisiko’

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Firma penarafan antarabangsa, Moody’s Analytics membuat penilaian ‘berisiko’ ke atas ekonomi negara. 

 

Ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyekat perjalanan rentas negeri mendorong kepada jangkaan pertumbuhan ekonomi dan perniagaan yang lebih perlahan, menurut ahli ekonominya, Dr. Steve Cochrane. 

 

Cochrane melihat Malaysia sedang menghadapi masalah dalam mengekang penularan COVID-19 selepas negara ini dapat mengawal jangkitan dengan agak baik pada permulaan pandemik berkenaan. 

 

“Filipina dan Indonesia, dua lagi negara yang menghadapi masalah untuk mengawal jangkitan COVID-19,” katanya menurut laporan The Edge.

 

PKP ketika ini dilaksanakan di beberapa buah negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor, di mana menurut Cochrane, menyumbang 60% daripada ekonomi Malaysia.

 

Malah, Lembah Klang sahaja menyumbang sehingga 40% kepada aktiviti ekonomi negara. 

 

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa Malaysia tidak berdepan kemelesetan ekonomi, tetapi dasar-dasar yang ketat telah mencetuskan risiko kepada ekonomi yang lebih perlahan. 

 

Untuk rekod, ekonomi Malaysia menguncup pada kadar 3.4% bagi suku keempat 2020 menjadikan keseluruhan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu pada -5.6%. 

 

Pertumbuhan itu adalah terendah sejak 1998 yang merekodkan penguncupan 7.4% bagi KDNK. 

 

Malah, penguncupan ekonomi bagi tahun ini juga lebih rendah berbanding unjuran yang dibuat Kementerian Kewangan, antara 3.5 hingga 5.5%. 

 

Di peringkat Asia Pasifik, rantau ini menonjolkan ekonomi yang kukuh sekali gus memacu kepada pemulihan ekonomi untuk keluar daripada kekangan COVID-19. 

 

Cochrane memberi contoh di China, Vietnam dan New Zealand yang ketika ini menyaksikan perkembangan ekonomi, terutamanya disumbangkan oleh pengurusan jangkitan COVID-19 yang berkesan. - DagangNews.com