Moody's jangka pasaran kewangan Islam terus berkembang pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Moody's jangka pasaran kewangan Islam terus berkembang pada 2022

KUALA LUMPUR 8 Mac - Moody's Investors Service menjangkakan pasaran kewangan Islam akan terus berkembang pada 2022 dipacu oleh pemulihan ekonomi yang semakin pesat khususnya rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

 

Naib Presiden dan Penganalisis kanan, Ashraf Madani berkata, pemulihan ekonomi dalam pasaran kewangan Islam utama akan meningkatkan pertumbuhan kredit serta permintaan untuk produk patuh syariah.

 

Selain itu syarikat itu menjangkakan, pertumbuhan aset bank Islam akan terus mengatasi prestasi rakan setara konvensional mereka.

 

“Pada masa sama, kami menjangkakan harga minyak yang lebih tinggi akan menjuruskan kepada terbitan sukuk yang lebih rendah pada 2022, sebahagian besarnya didorong oleh keperluan pembiayaan yang lebih rendah dalam GCC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.

 

Firma penyelidikan itu menyatakan terbitan sukuk jatuh 12% kepada AS$181 bilion (RM756.94 bilion) pada 2021 di tengah-tengah keperluan pendanaan kerajaan yang lebih rendah di rantau GCC dan Indonesia dalam keadaan harga minyak yang lebih tinggi dan pemulihan ekonomi.

 

Moody's berkata, aktiviti terbitan dijangka terus turun pada 2022 kepada AS$160 bilion hingga AS$170 bilion (RM669.12 bilion hingga RM710.94 bilion).

 

Pada 2020, aset di bawah pengurusan (AUM) untuk dana Islam meningkat kepada paras tertinggi baharu AS$140 bilion (RM585.48 bilion), mengembang 31.9% tahun ke tahun.

 

Menurut anggaran Moody's, dana Islam AUM terus mencatat pertumbuhan kukuh pada 2021, didorong oleh persekitaran ekonomi yang bertambah baik, prestasi pasaran ekuiti yang kukuh dan permintaan pelabur yang meningkat.

 

Katanya, pendorong ini kemungkinan akan terus menyokong pengembangan AUM selepas 2021. - DagangNews.com