KUALA LUMPUR 25 Mac - Moody's Investors Service mengubah tinjauan sistem perbankan Malaysia kepada stabil daripada negatif untuk mencerminkan persekitaran operasi yang bertambah baik.
Ia menjangkakan taja jamin berhemat bank berserta modal dan kecairan yang kukuh akan melindungi bank daripada sebarang tekanan kewangan tambahan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Dalam catatan penyelidikan hari ini, seperti dilapor Bernama, Moody's berkata, keadaan operasi akan bertambah baik kerana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia akan berkembang 6.2% tahun ini setelah menguncup 5.6% pada 2020.
Keadaan ini disokong oleh perbelanjaan fiskal kerajaan dan pemulihan permintaan global yang akan memberikan dorongan kepada eksport bersih negara.
Agensi penarafan itu menambah kualiti aset bank akan tetap stabil walaupun terdapat peningkatan dalam pinjaman tidak berbayar (NPL) ketika langkah-langkah sokongan untuk peminjam berakhir.
Ini berikutan peningkatan proaktif dalam peruntukan kerugian pinjaman pada tahun 2020 yang membolehkan bank menyerap jangkaan kerugian pinjaman baharu.
“Modal bank di Malaysia akan terus kukuh dengan keuntungan yang stabil, sasaran pertumbuhan pinjaman konservatif dan dasar dividen yang berhemat yang membolehkan bank mengekalkan nisbah modal mereka pada tahap tinggi semasa.
"Nisbah Tier 1 Ekuiti Bersama (Common Equity Tier 1) sistem perbankan berada pada 14.8 pada akhir tahun 2020, penampan yang cukup terhadap risiko yang tidak dijangka," katanya.
Mengenai keuntungan bank, Moody's berpendapat bahawa ia akan pulih, tetapi tidak sampai ke tahap sebelum berlakunya penularan pandemik.
"Kos kredit akan menurun kerana bank sudah cukup memperuntukkan peruntukan pada tahun 2020.
"Margin kadar faedah bersih akan meningkat secara beransuransur kerana kecairan yang cukup memungkinkan bank untuk menilai semula simpanan berjangka dengan kadar yang lebih rendah sambil mengurangkan kerugian pengubahsuaian yang mereka alami pada tahun 2020," katanya.
Dari segi pembiayaan dan kecairan, ia akan tetap kukuh, kata Moody's.
Bank sebahagian besarnya dibiayai deposit dan tidak bergantung pada pinjaman yang sensitif terhadap pasaran untuk pendanaan. Pertumbuhan deposit akan seiring dengan pertumbuhan pinjaman.
Menurutnya lagi, bank akan terus memiliki kecairan yang mencukupi untuk menghadapi sebarang kejutan yang tidak dijangka, dengan nisbah liputan kecairan untuk sistem perbankan pada 148% pada akhir 2020, jauh melepasi syarat minimum.
Dalam perkembangan lain, Moody's berkata, kebarangkalian sokongan kerajaan tetap tinggi kerana kerajaan Malaysia mempunyai sejarah memberikan sokongan kepada bank-bank yang gagal ketika diperlukan sementara tidak mungkin ia mengambil langkah regim bail-in dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang. - DagangNews.com