KUALA LUMPUR 3 Nov. - Pelaksanaan moratorium pinjaman secara automatik yang dijalankan oleh kerajaan bermula April hingga September lalu dilihat dapat membantu tabungan rakyat sepanjang tempoh mencabar COVID-19.
Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2020 menunjukkan, 14% daripada keseluruhan responden berjaya membuat tabungan berjumlah RM2,001 dan ke atas berbanding hanya sembilan peratus pada tahun 2019.
Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif RinggitPlus, Hann Liew berkata, tahap kesedaran tabungan itu turut didorong oleh penularan wabak COVID-19 yang memerlukan kepada dana simpanan kecemasan.
"Sebanyak 27% masyarakat Malaysia sedar betapa pentingnya dana kecemasan.
"Hasil kajian ini turut disokong oleh statistik moratorium automatik yang mencatatkan seramai 7.7juta peminjam yang mengambil moratorium pinjaman tersebut," jelasnya ketika membentangkan hasil kajian seperti dilapor Berita Harian.
Mengulas lanjut berkaitan moratorium itu, beliau memberitahu, seramai 16% responden mengaku bahawa mereka belum mampu untuk meneruskan pembayaran balik pinjaman meskipun tempoh moratorium telah berakhir.
Dalam dapatan kajian yang sama, tingkah laku kewangan peribadi dalam kalangan rakyat Malaysia bagaimanapun tidak menunjukkan perubahan ketara.
53% responden mengakui tidak mampu bertahan lebih dari tiga bulan tanpa gaji dan wang simpanan termasuk golongan belia yang berumur 35 tahun dan ke bawah.
Susulan penularan wabak itu juga, landskap perbelanjaan orang ramai turut mengalami perubahan apabila 88% responden lebih kerap berbelanja secara dalam talian atau kaedah tanpa tunai.
Menyokong perubahan tersebut, 90% responden memberi maklum balas bahawa mereka mempunyai aplikasi e-dompet dalam peranti elektronik dan telefon pintar masing-masing.
Kajian tersebut melibatkan seramai 10,628 responden di seluruh negara. - DagangNews.com