Moratorium, pengurangan bayaran ansuran untuk pelanggan Maybank terjejas | DagangNews Skip to main content

Moratorium, pengurangan bayaran ansuran untuk pelanggan Maybank terjejas

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Malayan Banking Berhad (Maybank) akan terus membantu dan menyokong pelanggannya yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19, antaranya menerusi pemberian moratorium untuk jangka masa tiga bulan atau pengurangan 50% pembayaran ansuran bulanan bagi tempoh enam bulan buat pelanggan terjejas, menurut Maybank dalam satu kenyataan.

 

Ini termasuk semua pelanggan individu B40 yang berdaftar di bawah program Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) iaitu sama ada mereka kehilangan pekerjaan atau tidak dan pelanggan dari mana-mana segmen pendapatan yang telah kehilangan pekerjaan akibat pandemik atau PKP.

 

Selain itu, turut melibatkan perusahaan mikro dengan kemudahan pinjaman tidak melebihi RM150,000 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi semasa PKP dengan sekatan pergerakan penuh iaitu yang tidak termasuk dalam senarai sektor yang dibenarkan seperti yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

“Peminjam yang memenuhi kriteria di atas dan ingin memanfaatkan skim bantuan pembayaran balik ini hanya perlu menghubungi bank untuk membuat pilihan.

 

“Proses ini sangat mudah dan tidak memerlukan dokumen, hanya pengisytiharan kendiri oleh peminjam,” jelas Maybank.

 

Sementara itu, pengurangan pembayaran ansuran bulanan turut diberikan kepada mana-mana pelanggan individu tanpa mengira klasifikasi pendapatan atau perusahaan mikro dan PKS yang mengalami atau telah mengalami pengurangan pendapatan.

 

Peminjam lain yang tidak termasuk dalam kategori disebutkan itu, tetapi mungkin menghadapi cabaran kewangan semasa PKP ini juga boleh berbincang dengan bank untuk pakej bantuan pembayaran alternatif bagi membantu mereka mengatasi kesulitan yang dialami semasa tempoh ini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, Maybank memahami bahawa pelanggan yang terkesan akibat pandemik dan sekatan kawalan pergerakan semasa akan menghadapi cabaran dalam memenuhi kewajipan pembayaran balik pinjaman mereka.

 

Abdul Farid Alias

 

“Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, setakat Mac 2021, sekitar 4.7% tenaga kerja adalah penganggur. Terdapat juga ramai individu yang pendapatannya telah dikurangkan ekoran pampasan atau waktu kerja mereka yang telah dipotong.

 

“Tambahan pula, banyak perniagaan terutamanya PKS tidak dapat beroperasi seperti biasa disebabkan PKP. Walaupun kami memahami PKP diperlukan, kami bersimpati dengan semua pihak yang terkesan dan dengan itu kami menyediakan pelbagai pilihan RA bagi membantu mereka semua mengatasi kesulitan yang dihadapi,” katanya menerusi kenyataan sama.

 

Maybank menggalakkan pelanggan yang layak dan ingin membuat pilihan bagi mendapatkan bantuan pembayaran balik boleh melakukan melalui saluran-saluran berikut:

 

  • Kunjungi halaman bantuan pembayaran balik Maybank2u COVID-19 di www.maybank2u.com.my/covid19 dan tekan pada butang “Hantar emel” (untuk pelanggan individu dan PKS) untuk menghantar pilihan. Sila lengkapkan maklumat yang diperlukan sebelum menghantar e-mel.

 

  • Hubungi Talian Hotline Khidmat Pelanggan Maybank: 1-300-88-6688 (Malaysia) atau 03-78443696 (luar negara) dan tekan *1 untuk “Bantuan Pembayaran”.

 

Pelanggan juga boleh mengunjungi cawangan Maybank, Pusat PKS, Pusat Kewangan Auto atau Pusat Pengurusan Kualiti Aset (mana-mana yang berkaitan), namun operasi hanyalah melalui janji temu bermula 2 Jun 2021 sehingga diberitahu kelak,.

 

Sejak September 2020 hingga awal Mei 2021, Maybank telah memproses lebih daripada 200,000 permohonan bantuan pembayaran balik dan meluluskan semua permohonan yang layak dengan jumlah RM32 bilion.

 

Daripada permohonan yang diluluskan, sekitar 37% telah diberikan penangguhan lebih lanjut dalam pembayaran balik pinjaman dan pembiayaan mereka, sementara pelanggan yang lain telah diberikan pembayaran ansuran yang lebih rendah untuk jangka waktu yang telah dipersetujui. - DagangNews.com