MOSTI benarkan Kanger edar vaksin COVID-19 di sektor swasta | DagangNews Skip to main content

MOSTI benarkan Kanger edar vaksin COVID-19 di sektor swasta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah memberi kebenaran kepada Kanger International Berhad (Kanger) untuk membeli vaksin dari China National Pharmaceutical Group Corporation (Sinopharm) bagi kegunaan sektor swasta di Malaysia. 

 

Perkara itu dimaklumkan kepada Kanger menerusi sepucuk surat oleh MOSTI melalui agensi di bawah kementerian itu, Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIMB).

 

Ini menandakan perkembangan positif buat Kanger yang layak untuk mengedarkan vaksin COVID-19 di negara ini. 

 

“Surat daripada MOSTI menerusi NIBM akan memperkukuh rundingan Kanger untuk membeli vaksin COVID-19 Sinopharm bagi kegunaan sektor swasta di Malaysia. 

 

“Bagi mempermudah penyimpanan, pengurusan dan pengedaran selamat, kumpulan syarikat berhasrat untuk bekerjasama dengan Zuellig Pharma Sdn. Bhd. yang merupakan pengedar vaksin terbesar di Malaysia dan Asia,” kata Kanger menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Sebelum ini, Kanger telah memerterai perjanjian kerjasama selama tiga tahun dengan Sinopharm Group Hunan Changde Medical Co Ltd untuk mengedarkan vaksin COVID-19 dan peralatan perubatan di Malaysia.

 

Sinopharm yang merupakan perniagaan hak milik kerajaan China merupakan syarikat bioteknologi yang terbesar dan tertua di China. 

 

Sinopharm telah membangunkan sebanyak dua vaksin COVID-19 yang kini memasuki fasa percubaan 3 di mana merupakan peringkat akhir sebelum diluluskan bagi kegunaan umum di lebih 10 buah negara. 

 

Setakat ini, hampir sejuta rakyat di seluruh dunia telah menerima vaksin COVID-19 Sinopharm bagi kegunaan kecemasan. 


Pada 3.13 petang, saham Kanger melonjak sebanyak 5.26% mencecah RM0.20 dengan jumlah pembelian sebanyak 53,515. - DagangNews.com