MOSTI lancar Program Pemecut MYStartup kedua dengan tawaran pembiayaan sehingga RM600,000 | DagangNews Skip to main content

MOSTI lancar Program Pemecut MYStartup kedua dengan tawaran pembiayaan sehingga RM600,000

KUALA LUMPUR 10 Jun - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan Program Pemecut MYStartup kedua, yang menawarkan geran sehingga RM600,000 kepada 10 daripada 33 syarikat pemula niaga yang terlibat dalam program itu.

 

Dimulakan oleh MOSTI dan dijayakan oleh agensinya Cradle Fund Sdn Bhd, Program Pemecut MYStartup memberi inspirasi kepada pemula niaga peringkat awal sambil menawarkan bimbingan dalam melaksanakan strategi perniagaan dan akses kepada pasaran dan pendanaan.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Cradle Fund, Norman Matthieu Vanhaecke berkata menjelang hujung tahun ini 10 syarikat pemula niaga akan dipilih bagi menerima geran dan tambahan wang tunai RM1 juta daripada bakal rakan kongsi.

 

“Program Pemecut MYStartup telah dilancarkan pada Februari tahun ini dan di bawah program itu, kami mempunyai pelbagai inisiatif pembinaan kapasiti untuk syarikat pemula niaga.

 

“Bagi yang pertama ialah Program Pra-Pemecut MYStartup, yang kami mulakan bulan lepas, dan ini adalah program kedua kami,” katanya Program Pemecut MYStartup kedua, hari ini lapor Bernama. 

 

Program MYStartup terdiri daripada beberapa program, antaranya ialah MYHackathon 2022, MYStartup Hackathon, Pra-Pemecut MYStartup, Pemecut MYStartup, MYStartup Internship dan MYStartup Mentorship.

 

cradle
Norman Matthieu Vanhaecke

 

“Tidak lama lagi, kami akan melancarkan program MYHackathon kami untuk tahun ini. Inisiatif ini bertujuan untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan awam utama kepada rakyat,” kata Vanhaecke.

 

Beliau berkata, Program Pemecut MYStartup adalah sebahagian daripada strategi MYStartup yang lebih besar yang dimulakan oleh MOSTI, yang bertujuan untuk mewujudkan syarikat pemula niaga Malaysia yang berjaya di peringkat global.

 

Usaha ini juga selari dengan sasaran MOSTI untuk mewujudkan 5,000 syarikat pemula niaga dan menghasilkan lima syarikat berstatus "unicorn" menjelang 2025.

 

“Program ini menyediakan akses kepada 18 pelabur, yang mereka sendiri adalah pengasas pemula niaga  yang berjaya, dan akan terus membimbing peserta sepanjang pengembangan pasaran mereka dan meningkatkan perjalanan,” katanya.

 

Pemula niaga juga akan ditugaskan kepada mentor daripada kumpulan pemain industri utama antarabangsa dan tempatan yang dipilih khas, pengasas pemula niaga yang berjaya dan pelabur utama yang boleh mereka hubungi. - DagangNews.com