MOSTI, NMD bangunkan NAVi-D untuk penghantaran akhir bungkusan dan produk makanan | DagangNews Skip to main content

MOSTI, NMD bangunkan NAVi-D untuk penghantaran akhir bungkusan dan produk makanan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Nov - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan NanoMalaysia Berhad sedang membangunkan NAVi-D iaitu Robot Penghantaran Berautonomi NanoMalaysia khusus untuk penghantaran akhir atau last-mile delivery. 

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, NAVi-D adalah salah satu pendekatan norma baharu di mana MOSTI berusaha menggunakan teknologi dalam mengurangkan interaksi fizikal antara manusia.

 

Katanya, NAVi-D merupakan evolusi daripada NAVi yang memberi tumpuan khusus kepada perkhidmatan penghantaran bungkusan dan produk makanan. 
 

"NAVi-D boleh diprogram untuk membuat penghantaran daripada kedai makan sehingga kepada pengguna selain saiz ia bergantung kepada keperluan pengguna.

 

"MOSTI yakin bahawa NAVi-D mampu meningkatkan lagi taraf khidmat penghantaran barangan dan bungkusan di Malaysia. 

 

"Kami juga juga percaya pelaksanaan medium kenderaan autonomi baharu menerusi NAVi dan NAVi-D ini adalah transformasi negara berteknologi tinggi yang memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia," katanya pada Majlis Perasmian Inisiatif kenderan NAVi-D, hari ini.

 

nano

 

NAVi kini sedang menjalani fasa ujian di Taman Teknologi Malaysia (TPM) di atas jalan raya sepanjang 12 kilometer (km) dari Fasa1 hingga 3 yang akan menjadi laluan yang diluluskan di bawah rangka kerja amali Hab Inovasi Antarabangsa TPM.

 

Kenderaan yang mencapai autonomi itu mampu untuk bertindak balas dengan cekap dalam menangani gangguan tumpuan dan refleks pemandu yang terhad selain boleh mengelakkan insiden yang tidak diingini daripada berlaku.

 

“Sektor pengangkutan penumpang akan menjadi matlamat jangka sederhana hingga jangka panjang bagi semua pihak dan penggunaan NAVi secara komersial bagi sektor ini adalah usaha yang bijak. 

 

"NAVi akan mewujudkan sistem penghantaran yang lancar dengan kadar kemalangan minimum akibat kesilapan manusia,menjimatkan masa serta penghantaran yang lebih baik dan cekap,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NMD, Dr. Rezal Khairi Ahmad. - DagangNews.com