MOTAC perkukuh kerjasama pelancongan dengan Melaka | DagangNews Skip to main content

MOTAC perkukuh kerjasama pelancongan dengan Melaka

Melaka

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Mac. - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) memperkukuh kerjasama strategik bersama kerajaan negeri Melaka bagi merancakkan lagi pertumbuhan industri berkenaan.

 

Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, selain memperkukuh hubungan strategik tersebut, lawatan kerja dua hari ke Melaka yang bermula hari ini turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak berbincang mengenai hala tuju gerak kerja pelancongan dan kebudayaan di negeri berkenaan.

 

"Pada pertemuan ini, saya turut menyatakan komitmen MOTAC untuk terus membantu membangunkan dan mempromosikan Melaka sebagai salah satu destinasi pelancongan unggul di Malaysia.

 

"Saya juga berpeluang berkongsi mengenai pembangunna produk-produk pelancongan baharu pasca COVID-19 serta cadangan kerjasama negeri dan persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kunjungan hormat Datuk Seri Nancy Shukri ke atas Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Kunjungan hormat Datuk Seri Nancy Shukri ke atas Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam. 

 

Dalam sesi lawatan tersebut, beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Seri Negeri, Ayer Keroh.

 

Selain itu, beliau turut membuat kunjungan hormat kepada Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

 

Kunjungan tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr. Noor Zari Hamat, pasukan kerja MOTAC, jabatan dan agensi lain.

 

Kunjungan hormat Datuk Seri Nancy Shukri ke atas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Kunjungan hormat Datuk Seri Nancy Shukri ke atas  Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali. 

 

MOTAC memberitahu, sesi jerayawara kali ini melibatkan tiga negeri Zon Selatan iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang diadakan secara hibrid iaitu fizikal dan dalam talian.

 

Esok, Nancy akan meneruskan jadual lawatan ke lokasi produk-produk pelancongan di sekitar Bandar Hilir.

 

Jadual lawatan hari kedua itu akan meneroka dan merasai kepelbagaian rasa serta keenakan makanan tempatan di samping lokasi bersejarah dan produk kraf.

 

Ia termasuk lawatan ke Muzium Sejarah dan Ethnografi, Bangunan Stadhuys, Galeri Warisan Kota Melaka, Muzium Senibina Malaysia, Kota A Famosa, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan serta Muzium Wangkang. - DagangNews.com