Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Dis. - Kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang meneroka potensi untuk mewujudkan gelembung perjalanan (travel bubble) dengan negara-negara zon hijau.
Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementeriannya telah mengadakan rundingan dengan beberapa agensi kerajaan dan wakil dari penggiat industri pelancongan.
Tujuan rundingan itu adalah untuk mendapatkan cadangan beberapa mekanisme gelembung perjalanan yang boleh digunapakai oleh Malaysia bagi membuka semula aktiviti pelancongan rentas sempadan dengan lebih selamat dan sistematik.
“Antara mekanisme yang sedang diterokai termasuklah destinasi ke destinasi, pulau-pulau serta lawatan dalam kumpulan kecil bagi aktiviti pelancongan minat khas,” katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Nancy, pelancongan minat khas itu termasuklah golf, menyelam, skuba, menonton burung, mendaki dan aktiviti gua yang memerlukan itineri perjalanan diluluskan oleh pihak berkuasa terlibat serta perjalanan diuruskan sepenuhnya oleh agensi pelancongan berlesen. - DagangNews.com