Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Dis. - Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama GD Express Carrier Berhad (GDEX) membuka peluang kepada syarikat pengendali logistik, Tasco Berhad (Tasco) untuk melebarkan sayap perkhidmatannya ke wilayah Indonesia an Vietnam.
CGS-CIMB Research berkata, peluang tersebut mampu diraih melalui hubungan bersama syarikat-syarikat yang mempunyai pegangan ekuiti oleh GDEX di negara berkenaan.
"Tasco dapat memperkukuh perkhidmatan ke wilayah Indonesia dan Vietnam melalui kerjasama dengan syarikat PT Satria Antaran Prima Tbk dan Noi Bai Express serta Trading Joint Stock Company (Trading JSC).
"GDEX mempunyai pemilikan ekuiti sebanyak 44.50% dalam PT Satria dan 50% dalam Noi Bai Express serta Trading JSC," jelas CGS-CIMB Research dalam nota kajian hari ini.
MoU yang diumumkan semalam itu mengangkat tiga objektif utama bagi memanfaatkan kelebihan dan kekuatan kedua-dua pihak;
- Mengembangkan dan mengatur aktiviti pemasaran bersama dengan menggunakan rangkaian dan keupayaan kedua-dua entiti
- Memajukan pembangunan jaringan e-dagang dan platform perdagangan sosial lain bersama perkhidmatan logistik
- Meningkatkan perkongsian pengetahuan bagi memupuk peningkatan organisasi dan sinergi
CGS-CIMB Research memberitahu, secara asasnya, MoU tersebut adalah titik penting bagi Tasco untuk meningkatkan perkhidmatan logistik sekali gus dapat memenuhi permintaan logistik yang lebih kompleks daripada para pelanggan.
"Kami memuji pihak pengurusan (Tasco) kerana merapatkan hubungan perniagaan bersama GDEX.
"Kami yakin ia akan memberi faedah bersama bagi kedua-dua syarikat dalam meningkatkan penawaran dan kemampuan perkhidmatan," ujar CGS-CIMB Research lagi.
Berdasarkan pendedahan kumpulan Tasco, MoU berkenaan dijangka tidak akan memberi kesan langsung kepada kunci kira-kira dan pendapatan kumpulan.
Bagaimanapun, perkara tersebut diyakini dapat memberi kesan yang lebih konkrit terhadap pendapatan kumpulan selepas 2021.
CGS-CIMB Research membuat semakan semula terhadap harga sasaran sesaham (TP) kepada RM2.85 berbanding RM2.56 pada sebelumnya.
Saranan saham pula diturunkan kepada 'neutral' berbanding saranan 'beli' pada sebelumnya. - DagangNews.com