MPC sedia kongsi maklumat dengan agensi kerajaan ke arah peralihan digital | DagangNews Skip to main content

MPC sedia kongsi maklumat dengan agensi kerajaan ke arah peralihan digital

KUALA LUMPUR 24 Jan - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersedia berkongsi maklumat dengan mana-mana agensi kerajaan yang ingin melaksanakan transformasi digital terhadap proses perolehan mereka bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti agensi terbabit.

 

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, MPC sendiri mula merancakkan transformasi digitalnya sejak tercetusnya pandemik COVID-19.

 

Ini kerana, katanya, sekatan pergerakan dan jumlah statistik kes COVID-19 yang positif meningkat setiap hari pada 2020 dan 2021 menyebabkan MPC perlu menukar medium perolehan dan pembayaran kepada pelanggan.

 

"Salah satu objektif pendigitalan ialah menggandakan jangkauan perkhidmatan MPC kepada pelanggan tanpa halangan masa dan geografi serta mengurangkan kos operasi MPC supaya lebih cekap dan berkesan.

 

“Pelaksanaan pengeluaran pesanan kerajaan dan memproses invois secara digital telah bermula pada Mac 2020 iaitu ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Menurut beliau, penambahbaikan tersebut telah melalui 3 fasa secara berperingkat berdasarkan keperluan dan situasi semasa.

 

Fasa pertama, katanya, untuk memastikan pegawai boleh terus membuat permohonan tanpa gangguan, kaedah permohonan dihantar melalui sistem emel dalaman MPC, yang mana pegawai hanya perlu imbas dan hantar.

 

"Bagi fasa kedua pula, setelah MPC melanggan Microsoft Teams, semua permohonan perolehan dikongsi di fail mengikut bahagian. 

 

"Seterusnya, bagi fasa terakhir, MPC telah membangunkan Sistem Permohonan Perolehan untuk pegawai memohon pesanan kerajaan secara atas talian dan memantau pengeluaran pesanan kerajaan mengikut tempoh masa ditetapkan,” jelasnya.

 

Beliau berkata, dengan perubahan ini, Unit Perolehan MPC telah mengamalkan pemprosesan tanpa kertas secara 100%. 

 

"Semua pesanan kerajaan dari MPC dan invois yang diterima daripada pembekal adalah dalam bentuk PDF.

 

"Sistem ini juga berkesan untuk menjejak transaksi dalam masa yang singkat serta kawalan dokumen adalah teratur," katanya. - DagangNews.com