Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Dis - AmInvestment Bank Research mengulangi pandangan 'overweight' terhadap sektor teknologi memandangkan industri kini memanfaatkan penggunaan automasi dan pelbagai produk pintar.
Ini berdasarkan ramalan Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia menunjukkan jualan global semikonduktor akan berkembang kepada AS$601 bilion pada tahun hadapan, meningkat 8.8% tahun ke tahun.
Permintaan semikonduktor akan terus dipacu oleh teknologi transformatif seperti 5G, kecerdasan pintar (AI), kenderaan elektrik (EV) dan internet segala-galanya (IoT).
Dalam laporan prospek sektor teknologi bagi 2022, firma itu melihat Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI) dan Inari Amerton Bhd. akan mendapat manfaat dalam perkembangan sektor ini terutama dengan memiliki kedudukan kewangan yang kukuh.
AmInvestment memberi saranan 'beli' terhadap MPI dan Inari dengan nilai wajar masing-masing pada RM59.50 dan RM3.84 sesaham.
Berdasarkan prestasi suku kewangan bagi syarikat teknologi di bawah liputannya, hanya MPI yang melepasi unjuran manakala Vitrox Corp. Bhd., Pentmaster Corp. Bhd., Globetronics Technology Bhd. dan Inari berada dalam jangkaan.
"Kami menyukai MPI kerana kekuatan terasnya dalam pelaburan teknologi yang betul pada masa yang tepat. Malah, ia akan mendapat manfaat daripada pelaburan awalnya dalam penyelesaian produk silicon carbide dan gallium nitride, yang digunakan secara meluas dalam EV, pelayar, tenaga diperbaharui dan gajet pengguna.
"Bagi Inari pula, kami kekal yakin dengan prospeknya susulan peranannya dalam pertumbuhan 5G menerusi perniagaan frekuensi radio (RF), yang akan mendapat manfaat daripada permintaan telefon pintar 5G apabila memasuki tahun kewangan 2022 (FY22).
"Prospek kumpulan juga positif didorong pendapatan RF yang kukuh berikutan penggunaan cip lebih tinggi dalam telefon pintar 5G dan usaha berterusan kumpulan untuk meningkatkan dan mempelbagaikan aliran pendapatan," jelasnya dalam laporan itu hari ini.
Firma itu juga percaya kebanyakan pengguna akan menaik taraf iPhone mereka pada tahun hadapan kepada 5G memandangkan penggunaan teknologi semakin berkembang.
"Ini berdasarkan kepada pembekal data peranti DeviceAtlas, iPhone 7 (2016) dan iPhone 8 (2017) masih popular dalam kalangan pengguna iPhone dengan penggunaan masing-masing pada 10.35% dan 8.83% setakat suku ketiga 2020.
"Ia juga sejajar dengan unjuran International Data Corporation (IDC) yang menyaksikan unit 5G membentuk separuh daripada penghantaran telefon pintar pada tahun hadapan," katanya.
Sementara itu, bagi EV dan bateri EV pula, penggunaannya dijangka meningkat 31% dan 26% dalam industri automotif menjelang 2033 dengan pertumbuhan bermula pada tahun hadapan.
AmInvestment berkata, trend ini disokong oleh inisiatif kerajaan yang menetapkan piawaian pelepasan karbon dioksida untuk pengeluar kenderaan, diketuai oleh Kesatuan Eropah.
"Kebiasaannya, EV memerlukan kandungan semikonduktor yang tinggi disebabkan keperluan pengurusan kuasa yang berkesan dan lebih banyak komponen RF jika pemanduan autonomi digunakan," tambahnya.
Dengan mengambil kira semua faktor, firma tersebut berhati-hati dengan beberapa risiko yang boleh menjejaskan pertumbuhan sektor ini, antaranya, gangguan rantaian bekalan yang berterusan dan lonjakan semula jangkitan COVID-19 dan keberkesanan vaksin sedia ada terhadap varian tersebut.
"Selain itu, jualan yang lemah berbanding jangkaan disebabkan pelanggan mengurangkan pengeluaran dan margin, turut memberi risiko kepada sektor ini," katanya. - DagangNews.com