MPN cadang agar sempadan negara dibuka 1 Januari 2022 | DagangNews Skip to main content

MPN cadang agar sempadan negara dibuka 1 Januari 2022

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Nov - Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan agar sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari 2022.

 

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bagi mempercepatkan pemulihan khususnya sektor pelancongan yang dilihat terkesan dengan ketiadaan pelancong antarabangsa.

 

"Mesyuarat juga mengambil maklum situasi sektor pelancongan negara yang menyaksikan pemulihan yang agak perlahan disebabkan ketiadaan pelancong antarabangsa yang memasuki negara ini selain operator sektor ini yang memerlukan masa dan sumber untuk memulakan perniagaan mereka.

 

"Mengambil kira tahap pencapaian program vaksinasi negara yang amat baik, mesyuarat hari ini memutuskan supaya sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari 2022," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Muhyiddin berkata, usaha perlu digandakan dalam mencapai kadar pertumbuhan seperti yang disasarkan pada tahun ini selepas penunjuk prestasi pada suku tahun ketiga masih lagi berada di bawah para pra pandemik untuk hampir kesemua sektor kecuali pembuatan. 

 

"Mesyuarat juga dimaklumkan tentang perkembangan terkini berkaitan penambahbaikan keberkesanan pengesanan kontak atau contact tracing melalui penerapan teknologi yang telah dipersetujui.

 

"Penambah baikan ini sangat penting sebagai salah satu kaedah pengawalan penularan COVID-19 sementara kita membuka kegiatan ekonomi dan sosial menuju fasa endemik dan kami bersetuju agar pelaksanaanya dibuat secara menyeluruh selewat-lewatnya Januari 2022," katanya. 

 

Beliau secara keseluruhannya berpuas hati dengan perkembangan semasa trend penurunan kes COVID-19 harian, kes kematian dan kemasukan mereka yang positif bagi kategori 3 hingga 5 ke hospital serta kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa yang telah mencapai 95% dan remaja pada kada 76.7% buat masa sekarang.

 

"Namun kita masih perlu kekal berwaspada dengan terus mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan sementara Kerajaan meneruskan pemberian suntikan vaksin kepada yang belum menerima vaksin atau belum lengkap dan dos penggalak," katanya.-DagangNews.com