KUALA LUMPUR 3 Jun - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengadakan pembentangan mengenai industri minyak sawit negara kepada 153 orang pegawai kerajaan yang akan ditempatkan di luar negara.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, peserta diberikan pendedahan mengenai minyak sawit, kepentingannya, serta isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri sawit negara.
Peserta yang hadir terdiri daripada pegawai Kementerian Luar, Jabatan Perdana Menteri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Tourism Malaysia, Jabatan Imigresen dan pelbagai lagi.
Sesi perkongsian minyak sawit yang merupakan satu initiatif antara MPOB dan Institut Diplomasi dan Perhubungan Luar (IDFR), Kementerian Luar Negeri, adalah sebahagian daripada Kursus Orientasi Pra-Penempatan untuk Pegawai dan Pasangan, kohort 3/ 2022, sebelum mereka ditempatkan di luar negara.
Beliau berkata, MPOB menyampaikan beberapa siri pembentangan kepada diplomat Malaysia melalui initiatif antara MPOB dan IDFR serta Kementerian Luar.
“Sesi perkongsian minyak sawit ini penting untuk melengkapkan diplomat dengan fakta tentang industri sawit Malaysia. Kami berharap maklumat itu akan disampaikan dan disebarkan di negara penempatan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Parveez memberi penerangan mengenai peranan dan fungsi MPOB, kedudukan industri sawit dalam pasaran minyak dan lemak global, prestasi dan kemampanan minyak sawit Malaysia dan cabaran global yang dihadapi oleh minyak sawit negara.
Beliau berkata, MPOB memberi tumpuan kepada lima bidang penyelidikan dan pembangunan bagi menangani keperluan semasa industri sawit, isu dan cabaran.
Lima bidang tersebut ialah prestasi hasil; pembangunan mampan; mekanisasi dan automasi, keselamatan makanan dan pemakanan serta tambah nilai.
Kursus Orientasi Pra-Penempatan untuk Pegawai dan Pasangan bertujuan memberi pendedahan mendalam kepada peserta Kementerian Luar tentang pelbagai sudut hal ehwal diplomatik dan hubungan antarabangsa sebagai sebahagian daripada persediaan profesional untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil Malaysia ke misi di luar negara. - DagangNews.com