MPOB bangunkan inovasi mesra alam kawal penyakit Ganoderma | DagangNews Skip to main content

MPOB bangunkan inovasi mesra alam kawal penyakit Ganoderma

 

 

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Penyakit Ganoderma reput pangkal batang merupakan penyakit yang paling serius dihadapi oleh industri penanaman sawit Malaysia DAN akan menyebabkan kerugian besar jika tidak dirawat pada peringkat awal.

 

Industri sawit mencatatkan kerugian kira-kira RM1.5 bilion setahun disebabkan oleh penyakit reput pangkal batang.

 

Sehubungan itu, penyelidik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) diketuai Dr Shamala Sundram telah membangunkan inovasi untuk mengurus dan mengawal penyakit tersebut. 

 

Inovasi ini menggunakan bakteria endofitik terdapat dalam tisu pokok sawit untuk digunakan sebagai agen kawalan biologi yang mesra alam bagi melawan penyakit itu.

 

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, bakteria endofitik dijangka mengurangkan dan melambatkan proses permulaan jangkitan penyakit reput pangkal batang. 

 

"Inovasi ini juga telah  dirangkumkan sebagai sebahagian daripada pengurusan penyakit Ganoderma bersepadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bakteria endofitik mempunyai ciri antagonis tertentu yang secara khusus penting dalam mengawal Ganoderma dan telah disahkan melalui penilaian makmal dan lapangan. 

 

Ciri-ciri itu termasuk kemampuan untuk menghalang pertumbuhan Ganoderma, melarutkan unsur besi dari persekitaran dan menghasilkan antibiotik berkesan terhadap Ganoderma. Ini dapat dilihat melalui kecacatan patogen melalui pengimbasan mikroskop elektron.

 

Penyelidikan mengenai inovasi ini dimulakan pada 2016 dan tamat tahun ini. Ia telah dilancarkan semasa Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) MPOB 2021.

 

Menurut Ahmad Parveez, inovasi tersebut memberi kelebihan kepada pemilik ladang dan estet kerana kultur bakteria mengkoloni sistem dalaman akar pokok sawit dan juga sistem akar pokok di permukaan tanah.

 

"Pembiakan bakteria endofitik tidak dipengaruhi oleh parameter persekitaran yang biasanya terjadi pada produk berasaskan mikrob bukan endofitik lain. 

 

"Proses pembiakan koloni dapat dimulakan di peringkat tapak semaian dahulu, oleh itu, dapat  mengurangkan penggunaan di peringkat lapangan. 

 

"Ini  berbeza dengan produk mikrob bukan-endofitik yang sedia ada di pasaran,” tambahnya.

 

Inovasi yang dibangunkan ini turut mendapat sambutan positif daripada industri menerusi kerjasama  dengan syarikat Korea, CJ Bio Sdn. Bhd. untuk membangunkan produk mereka yang sedia ada dan diperkaya dengan bakteria endofitik.

 

MPOB juga telah membangunkan inovasi lain untuk merawat penyakit Ganoderma yang menjadi penyebab reput pangkal batang. 

 

Terdapat 5 teknologi, yang telah dipindahkan dan digunakan bersama produk komersial sedia ada. 

 

Salah satu ialah teknologi pengesanan penyakit yang dipasarkan sebagai Ganoderma PCR Amplification Kit. 

 

Sementara 4 teknologi lain disasarkan untuk pencegahan penyakit tersebut di ladang iaitu GanoEF, TrueCare, Gano EMBIO dan Trichoshield. - DagangNews.com