KUALA LUMPUR 5 Mac - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melonjak empat anak tangga untuk berada di dalam kedudukan 20 teratas sebagai pemohon paten terbaik Malaysia yang disenaraikan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi 2020.
MPOB menduduki tempat ke-17 dalam senarai dengan sembilan paten pada 2020, berbanding tujuh paten pada 2019.
Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, sembilan paten yang difailkan tahun lalu berpotensi besar untuk dikomersialkan.
"MPOB hanya memfailkan teknologi dan inovasi yang mempunyai potensi tinggi untuk dikomersialkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, penarafan daripada MyIPO adalah bukti komitmen MPOB terhadap pembangunan teknologi dan inovasi yang berterusan, sebagai agensi penyelidikan dan pembangunan negara untuk industri minyak sawit Malaysia.
"Harta intelek memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan Malaysia, terutama dalam industri sawit.
"MPOB sentiasa berusaha untuk mengembangkan teknologi inovatif dalam sektor makanan dan bukan makanan,” jelasnya.
Beliau berkata, sembilan paten MPOB yang difailkan pada 2020 termasuk kenderaan pelbagai guna untuk kecekapan operasi di ladang, sistem pemisahan minyak, dan formulasi untuk pertahanan dari jangkitan patogen serta kaedah penghasilannya.
Teknologi lain adalah berkaitan pengekstrakan peptida bio-aktif daripada mesokarpa buah sawit, kaedah mengesan bahan asing dalam minyak sawit mentah, komposisi dan formulasi menghasilkan strandboard.
Selain itu, ia termasuklah teknologi perencatan cholinesterases oleh ekstrak buah sawit yang larut dalam air, komposisi dan kaedah perencat kakisan, serta peralatan pertanian seperti syaf dan pepaku.
Kenderaan pelbagai guna, berkuasa bateri untuk menghidupkan alat pertanian, enjin penjana untuk mengecas bateri, dan sistem hibrid untuk menggabungkan satu atau lebih sumber tenaga yang boleh diperbaharui untuk mengecas bateri.
Komponen lain termasuk transmisi pemboleh ubah berterusan, penegang tali pinggang boleh laras untuk menyesuaikan kelajuan atau tork kenderaan, transgandar untuk menghantar kuasa, satu atau lebih roda alat pertanian.
"Sistem pemisahan air dan minyak yang dibangunkan MPOB sesuai untuk memisahkan emulsi minyak dan air menjadi komponen minyak berkepadatan rendah dan komponen berair berkepadatan yang lebih tinggi," jelasnya.
Formulasi MPOB untuk pertahanan daripada jangkitan patogen adalah bahan untuk meningkatkan pertumbuhan tanaman, yang terdiri daripada substrat yang dibuat berdasarkan sisa minyak sawit atau produk sampingan pengilangan sawit dan kulat dari genus Trichoderma. - DagangNews.com