MPOB, Earthworm Foundation jalin kerjasama perkasa pekebun kecil persendirian | DagangNews Skip to main content

MPOB, Earthworm Foundation jalin kerjasama perkasa pekebun kecil persendirian

Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir (dua dari kiri) dan Ketua Negara Earthworm Foundation, Quek Karl Yen (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian yang telah ditandatangani hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jun - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Earthworm Foundation (EF) menjalinkan kerjasama bagi memperkasakan pekebun kecil persendirian dalam Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) dari aspek pengurusan alam sekitar serta hidupan liar selain melaksanakan amalan pertanian baik (GAP) seperti dalam Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). 

 

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pihaknya mempunyai kepakaran dalam membantu pekebun kecil melalui insentif integrasi tanaman dan insentif integrasi ternakan dengan sawit, penubuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) serta khidmat nasihat sawit secara percuma kepada pekebun kecil persendirian. 

 

Beliau berkata, EF atau sebelum ini dikenali sebagai The Forest Trust merupakan entiti yang aktif di lapangan sejak 20 tahun lepas merentasi lima benua dalam membantu kilang dan ladang mengeluarkan produk sawit yang mesra alam.

 

Sejak 2010, EF mula aktif di Malaysia dengan menyokong aktiviti kilang penapis, kilang sawit, ladang dan pekebun kecil sawit dalam usaha memperkasakan amalan mampan bagi memenuhi permintaan pasaran minyak sawit.

 

“Jalinan kerjasama itu merupakan antara usaha MPOB untuk melahirkan pekebun kecil berwawasan dan mempunyai daya saing yang tinggi. 

 

"Memorandum perjanjian itu akan menjadi titik permulaan kepada kerjasama penting antara MPOB dan EF,” katanya dalam satu kenyataan selepas memetrai perjanjian itu di Kinabatangan hari ini.

 

Ahmad Parveez berkata, pemeteraian perjanjian tersebut adalah antara usaha MPOB bagi meningkatkan kesedaran dan mengembangkan daya saing pekebun kecil serta meningkatkan keupayaan mereka menghasilkan minyak sawit lestari memandangkan pekebun kecil menyumbang 28% daripada pengeluaran minyak sawit negara. 

 

Beliau berkata, skop kerjasama turut memberi impak yang positif kepada kedua-dua pihak dan seterusnya memanfaatkan industri sawit dan pelbagai sektor lain. 

 

Sehingga 30 April 2022, MPOB telah membantu mempersijilkan seramai 167,549 orang pekebun kecil persendirian seluruh Malaysia (76.62%), manakala bagi negeri Sabah pula seramai 25,691 (81.31%)  orang pekebun kecil telah pun dipersijilkan dengan MSPO.

 

Di Kinabatangan, terdapat tiga SPOC (SPOC S19, S20 dan S21) yang merangkumi kawasan Bukit Garam, Batu Puteh dan Sukau. 

 

Seramai 2,589 orang pekebun kecil dengan keluasan 15,993.6 hektar telah dipersijilkan MSPO di kawasan Kinabatangan. - DagangNews.com