MPOC jangka permintaan minyak, lemak berasaskan sawit meningkat semula | DagangNews Skip to main content

MPOC jangka permintaan minyak, lemak berasaskan sawit meningkat semula


KUALA LUMPUR 19 Okt - Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menjangkakan permintaan terhadap semua jenis minyak dan lemak kembali meningkat, terutama bagi minyak sawit yang juga minyak sayuran dengan harga paling kompetitif di pasaran pada masa ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail berkata Malaysia dan Indonesia yang menyumbang 85% daripada pengeluaran minyak global, akan menjadi tumpuan perdagangan minyak dan lemak antarabangsa.

 

Menurutnya, prestasi minyak dan lemak global bagi 2021 juga menunjukkan tahun ini sebagai paling mencabar bagi pihak pengeluar dan pengguna di serata dunia berikutan impak pandemik COVID-19 yang turut mengubah aliran penggunaannya.

 

Namun, beliau berkata masih terdapat tanda-tanda optimis di sebalik cabaran tersebut.

 

“Memandangkan 30% pengeluaran minyak dan lemak global adalah dari sumber Malaysia dan Indonesia, maka peranan kedua-dua negara ini amat penting dari segi unjuran harga minyak sawit,” katanya ketika membentangkan kertas kerja di seminar ‘Pointers on Price Trends’ anjuran MPOC secara dalam talian di sini, Isnin.

 

Maklumat Oil World menunjukkan pengeluaran minyak dan lemak global bersumberkan minyak sawit, minyak kacang soya dan minyak biji sesawi diunjur meningkat kepada 242.76 juta tan pada 2021 daripada 238.61 juta tan pada 2020.

 

Daripada jumlah itu, minyak sawit muncul sebagai penyumbang terbesar dengan sumbangannya dijangka mencecah 32% dan diikuti oleh minyak soya (25%), minyak lain (24%), minyak biji sesawi (11%) dan minyak bunga matahari (8%).

 

Menurut Oil World, penggunaan minyak dan lemak berasaskan minyak sawit juga kekal terbesar sebanyak 31% berbanding saingan terdekat, minyak soya pada 25%.

 

Wan Zawawi berkata secara keseluruhannya, industri minyak dan lemak turut memberi tindak balas positif terhadap pembukaan semula aktiviti ekonomi di negara-negara pengguna utama seperti peningkatan eksport di kebanyakan negara.

 

Sehubungan itu, beliau menjangkakan pemulihan berterusan di peringkat ekonomi global dan harga minyak dan lemak itu akan kekal kukuh sehingga sekurang-kurangnya pada akhir 2021.

 

“Destinasi eksport utama bagi minyak sawit kita untuk tempoh Jan-Sept, 2021 adalah India yang mencatat sebanyak 22.15% diikuti oleh China (11.38%), Belanda (6.40%) dan Turki (4.37%).

 

“Oleh kerana sebahagian besar negara-negara telah bertindak melonggarkan sekatan masing-masing, harga komoditi utama ini kembali ketara dan terbukti menerusi peningkatan harga minyak sawit yang memulakan tahun ini pada paras RM3,700 satu tan dan seterusnya melebihi RM4,500 satu tan pada Mei lepas. Malah, harga itu terus stabil,” katanya.

 

Seminar Pointers secara dalam talian selama seminggu itu menyediakan akses untuk peserta di serata lokasi dunia dan mengetengahkan topik termasuk elemen asas yang mempengaruhi harga minyak sawit mentah pada masa ini serta potensi produk sawit bagi sektor tenaga boleh baharu Jepun.

 

Acara tersebut turut mengetengahkan perkongsian pandangan dan analisis oleh pakar pasaran mengenai pasaran minyak sawit mampan Malaysia serta prospek minyak sawit di negara-negara Asia bagi 2022 dan tempoh seterusnya. - DagangNews.com