MR D.I.Y buka 35 lagi cawangan baharu bermula Oktober | DagangNews Skip to main content

MR D.I.Y buka 35 lagi cawangan baharu bermula Oktober

SEBUAH cawangan MR D.I.Y. Express yang terletak di Jalan Telawi 4, Bangsar telah beroperasi sejak 4 September 2021.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Peruncit perkakas rumah, MR D.I.Y. Group (M) Berhad akan lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia bermula Oktober ini apabila kumpulan membuka 35 cawangan baharu di tujuh buah negeri.

 

Cawangan-cawangan tersebut terdiri daripada 14 cawangan MR. D.I.Y., tiga cawangan MR. D.I.Y. Express, enam cawangan MR. TOY dan 12 cawangan MR. DOLLAR, menjadikan jumlah keseluruhan cawangan milik kumpulan sebanyak 830.

 

Naib Presiden Pemasaran MR D.I.Y., Andy Chin berkata, pihaknya komited untuk memenuhi janji “Always Low Prices” mereka di lokasi-lokasi yang strategik buat lebih ramai rakyat Malaysia.

 

“Kami sedar bahawa corak pembelian telah berubah, pengguna memilih untuk pergi ke kedai yang berhampiran dengan mereka, dan mahukan kedai yang memenuhi keperluan mereka untuk pelbagai jenis produk.

 

“Ini sesuai dengan kami memandangkan kami mempunyai 830 buah cawangan dan hampir 20,000 jenis produk. 35 cawangan baharu ini akan membolehkan lebih ramai pelanggan mengakses kami dengan lebih mudah dan terus memacu pertumbuhan perniagaan kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Tambah beliau, pembukaan tiga cawangan baharu MR. D.I.Y. Express akan menarik perhatian penduduk luar bandar.

 

MR. D.I.Y. Express adalah format kedai baharu kumpulan yang direka khas untuk lokasi berketumpatan tinggi dan komuniti luar bandar.

 

Dalam masa sama, Chin juga mengumumkan pelancaran Grand Opening Event (GOE) tahun ini, yang akan dijalankan pada dua hujung minggu pertama bulan Oktober di cawangan-cawangan baharu tersebut.

 

Bersempena GOE pada tahun ini, MR D.I.Y. akan memberikan 41,000 hadiah percuma bernilai lebih RM1.2 juta kepada pelanggan terawal di setiap cawangan baharu itu.

 

Pelanggan awal yang membelanjakan minimum RM40 di kedai MR D.I.Y, atau RM30 di kedai MR. DOLLAR dan MR. TOY akan layak memenangi hadiah percuma. - DagangNews.com